JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr. Maszlee Malik dijangka mendapat laluan mudah selepas Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan calon muka baharu.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pihaknya mencalonkan Teow Chia Ling sebagai calon di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai depan.
Selain Maszlee dan Chia Ling, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) juga telah mengumumkan calon mereka iaitu Ketua Pegawai Pusat Khidmat DUN Puteri Wangsa, Rashifa Aljunied.
Pada PRN Johor 2022, kerusi DUN Puteri Wangsa merupakan satu-satunya kerusi yang dimenangi Muda menerusi calon mereka, Amira Aisya Abd. Aziz yang merupakan Presiden Muda.
Amira Aisya menang dalam persaingan enam penjuru di kerusi tersebut dengan majoriti 7,114 undi menewaskan pencabar daripada BN, Ng Yew Aik.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Julai sebagai hari mengundi bagi PRN Johor dengan 27 Jun sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 7 Julai. – UTUSAN










