PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) mendesak Pas supaya menarik diri daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 sekiranya benar mahu memberi laluan mudah kepada Barisan Nasional (BN) untuk terus memerintah negeri itu.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, pendekatan politik yang digunakan Pas bukan sahaja merosakkan amalan demokrasi, malah menjatuhkan maruah pengundi apabila seolah-olah menjadikan mereka sebagai alat percaturan politik.
Beliau berkata, arahan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man supaya ahli, penyokong dan pengundi Pas mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi PN membuktikan bahawa Pas sedang menghantar mesej politik yang bercanggah dan mengelirukan.
“Pendekatan baru Politik Pas ini merosakan politik demokrasi dan menjatuhkan maruah pengundi. Pas sedang menjadikan pengundi sebagai barang dagangan di pasar. Di satu pihak, Pas meminta rakyat menolak BN di 11 kerusi yang ditandinginya.
“Jika Pas benar-benar berpendapat Johor mesti diperintah oleh BN atas alasan ‘kerajaan Melayu-Islam’, maka Pas sepatutnya berterus-terang kepada rakyat. Tarik diri sahaja daripada 11 kerusi yang ditandingi dan beri laluan sepenuhnya kepada BN. Itulah pendirian yang jelas dan jujur. Jangan di satu tempat meminta rakyat mengalahkan BN, tetapi di tempat lain mengarahkan rakyat memenangkan BN.
“Jika benar mahu menjadi pembangkang, lawan BN secara konsisten. Jika benar mahu BN terus memerintah Johor, nyatakan secara terbuka dan tarik diri daripada semua kerusi yang ditandingi. Kejujuran kepada rakyat jauh lebih mulia daripada percaturan politik yang mengelirukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Pas mengeluarkan arahan kepada semua ahli dan penyokong parti itu untuk mengundi calon UMNO-BN di DUN yang tidak ditandingi PN.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, arahan tersebut dikeluarkan bagi memastikan sokongan diberikan kepada UMNO-BN di kawasan yang tidak mempunyai calon daripada gabungan berkenaan.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, perkembangan tersebut lebih menyedihkan kerana ahli-ahli Pas yang sekian lama dididik bahawa UMNO merupakan lawan politik kini diminta pula mengundi parti itu mengikut kawasan tertentu.
“Lebih menyedihkan, ahli-ahli Pas yang selama puluhan tahun diajar bahawa UMNO ialah lawan politik, kini diminta pula mengundi UMNO mengikut kawasan masing-masing.
“Penyokong Pas telah berkorban masa, tenaga dan wang demi perjuangan parti. Mereka bukan alat percaturan politik yang boleh diarahkan sesuka hati mengikut strategi pilihan raya.
“Mereka berhak mendapat penjelasan yang jujur, bukannya arahan yang berubah-ubah,” katanya. – UTUSAN










