PETALING JAYA: Polis telah merekodkan keterangan anak kepada seorang wanita warga emas yang ditahan pihak berkuasa Nigeria kerana disyaki cuba menyeludup 31 kilogram (kg) dadah jenis Canadian Loud ke negara itu, bulan lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, wanita berusia 63 tahun itu mempunyai tiga orang anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan yang kesemuanya menetap di Sarawak.
Katanya, polis berjaya mengesan anak perempuan suspek dan keterangannya telah direkodkan minggu lalu bagi membantu siasatan.
“Kesemua mereka telah direkodkan percakapan minggu lalu. Tindakan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, polis memaklumkan sedang mengesan anak kepada wanita terbabit susulan dakwaan bahawa suspek dipercayai diperdaya oleh anaknya untuk membawa masuk dadah berkenaan ke Nigeria.
Pada 17 Mei lalu, JSJN menerima makluman daripada Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Dadah Kebangsaan Nigeria (NDLEA) berhubung penahanan wanita itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Murtala Muhammed, Lagos.
Wanita berkenaan ditahan sebaik tiba di terminal ketibaan selepas pihak berkuasa negara itu menemukan 31kg dadah jenis Canadian Loud yang dipercayai dibawanya masuk ke Nigeria.
Difahamkan, suspek yang merupakan warga Malaysia naturalisasi berlepas dari Thailand ke Nigeria melalui Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Siasatan awal mendapati wanita itu dipercayai bergerak dari Malaysia ke Thailand sebelum meneruskan perjalanan ke Nigeria dengan membawa dua bagasi besar mengandungi bahan terlarang berkenaan.
Ketika disoal siasat, suspek mendakwa perjalanan itu ditaja oleh anak perempuannya. Dia juga memaklumkan berada di Thailand selama kira-kira dua minggu sebelum menerima satu bungkusan untuk dihantar kepada individu tertentu di Nigeria. – UTUSAN










