Polis kesan taktik menyamar guru, kutip bayaran guna QR palsu

Polis kesan taktik menyamar guru, kutip bayaran guna QR palsu

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Polis mengesan taktik baharu sindiket penipuan dengan cara menyamar sebagai guru bagi memperdaya ibu bapa pelajar untuk membuat pembayaran program akademik.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, setakat ini, dua laporan polis diterima berkaitan modus operandi sama dengan laporan terbaharu pada 24 Jun lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek menggunakan nama, gambar dan nombor telefon seorang guru sebelum menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada ibu bapa pelajar kononnya bagi tujuan kutipan bayaran program akademik sekolah.

“Suspek turut menghantar kod QR pembayaran yang telah diubah suai menggunakan nama sekolah bagi meyakinkan mangsa supaya membuat pembayaran ke akaun milik suspek.

“Polis percaya taktik ini bertujuan memperdaya ibu bapa dengan mengeksploitasi kepercayaan mereka terhadap pihak sekolah,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, orang ramai dinasihatkan supaya membuat pengesahan dengan pihak sekolah menggunakan nombor telefon rasmi sebelum membuat sebarang pembayaran.

Malah katanya, mereka juga diminta agar tidak mempercayai sebarang arahan pembayaran yang diterima melalui WhatsApp semata-mata.

“Ibu bapa perlu memastikan kod QR atau akaun bank yang digunakan benar-benar merupakan akaun rasmi sekolah bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

“Mana-mana individu yang telah menjadi mangsa penipuan perlu segera menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997, memaklumkan kepada pihak bank dan segera membuat laporan polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang permintaan pembayaran yang diterima melalui aplikasi pesanan tanpa pengesahan daripada pihak berkaitan.

“Sebarang maklumat berkaitan jenayah komersial boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-688 6222 atau Hotline WhatsApp di 017-682 8005,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN