PETALING JAYA: Polis membuka kertas siasatan berhubung penularan video yang memaparkan seorang lelaki memakai pakaian menyerupai pasukan keselamatan dan memiliki senjata yang disyaki tiruan di sekitar Taman Bukit Desa, Kepong.
Laporan berhubung kejadian itu diterima polis pada pukul 4.31 petang semalam selepas video berkenaan tersebar menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, siasatan awal mendapati individu terbabit merupakan seorang lelaki yang identitinya masih belum dikenal pasti.
“Susulan laporan yang diterima, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 140 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut supaya tampil membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Prakash Sithambaram, di talian 012-2940827 atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222 bagi membantu melengkapkan siasatan,” jelasnya. – UTUSAN









