Peruntukan kerajaan untuk Pahang meningkat setiap tahun - Utusan Malaysia

Peruntukan kerajaan untuk Pahang meningkat setiap tahun

AMIR Hamzah Azizan (tengah) beramah mesra dengan peniaga pada Program Lawatan Pasar Tani di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor, hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (tiga dari kiri). - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan sentiasa meningkatkan peruntukan kepada Pahang setiap tahun menerusi belanjawan negara sebagai komitmen berterusan untuk membantu pembangunan negeri tersebut.

Malah, projek-projek keutamaan negeri itu turut diberi perhatian termasuk pembangunan infrastruktur utama yang mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi dan menarik lebih banyak pelaburan ke Pahang.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam pertemuan beliau bersama baginda minggu lalu.

Beliau berkata, pertemuan tersebut memberi ruang kepada kerajaan untuk menjelaskan bentuk peruntukan dan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membantu pembangunan negeri itu.

“Saya sudah berjumpa dengan Pemangku Raja Pahang minggu lalu dan kita telah memberi penerangan mengenai apa yang diberikan dari segi peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri.

“Kita nampak perkembangan yang mana peruntukan yang disediakan kerajaan setiap tahun meningkat kepada negeri-negeri dan projek-projek yang diberi keutamaan oleh negeri juga mendapat perhatian dan diberikan dalam bajet,” katanya ketika ditemui di Pasar Tani Kelana Jaya, di sini hari ini.

Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Tengku Hassanal menzahirkan kekecewaan terhadap beberapa keputusan Kerajaan Persekutuan yang didakwa tidak memihak kepada hak dan kepentingan negeri Pahang.

Baginda bertitah, Kerajaan Pusat perlu lebih cakna terhadap hak negeri termasuk dalam soal hasil bumi, pelaksanaan projek dan bidang kuasa perundangan di negeri ini.

Mengulas lanjut, Amir berkata, kerajaan bersedia menambah baik proses sedia ada sekiranya terdapat ruang untuk memperkukuh pelaksanaan pembangunan di negeri berkenaan.

“Saya rasa Tuanku sudah nampak ada komitmen daripada Kerajaan Persekutuan untuk membantu.

“Ada beberapa usaha lain yang diminta oleh Tuanku yang kita akan perhalusi. Kalau ada ruang untuk tambah baik proses yang ada, kita akan berusaha,” katanya.

Menurut Amir, komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap Pahang bukan sahaja melibatkan peruntukan kepada kerajaan negeri, malah turut merangkumi bantuan terus kepada rakyat.

Katanya, ia termasuk pelaksanaan bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri tersebut.

“Ketelusan angka-angka yang ditunjukkan memperlihatkan peruntukan itu terus dinaikkan dari tahun ke tahun.

“Cara penyampaiannya bukan sahaja dari segi pemberian kepada negeri, tetapi juga pemberian terus kepada rakyat dalam negeri seperti skim-skim STR dan SARA,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan infrastruktur utama seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) turut menjadi sebahagian daripada usaha Kerajaan Persekutuan membangunkan Pahang dan negeri-negeri Pantai Timur.

Katanya, selepas ECRL siap, kerajaan akan memberi penekanan kepada pembangunan zon perindustrian di Pantai Timur bagi menarik lebih banyak pelaburan baharu.

“Penekanan kita adalah untuk menarik industri-industri baharu bagi membangunkan negeri-negeri di Pantai Timur kerana infrastrukturnya sudah dibina,” katanya.

Amir berkata, kerajaan turut melihat keperluan menambah baik infrastruktur sokongan di sekitar laluan dan stesen ECRL supaya kawasan berkenaan lebih bersedia menerima kemasukan pelabur.

Katanya, antara tumpuan ialah penambahbaikan jalan dari Lebuhraya Pantai Timur (LPT) ke Kuantan serta kemudahan di kawasan sekitar stesen.

“Kalau kita sudah ada infrastruktur, kita juga melihat di mana kita boleh tambah baik infrastruktur sekeliling laluan yang kita bina.

“Jadi lebih elok untuk pelabur masuk ke negeri berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN