Penyeludup lari tinggal 240,000 batang rokok tepi jeti

Penyeludup lari tinggal 240,000 batang rokok tepi jeti

KAMAL Mohamad (tengah) menunjukkan rokok seludup yang dirampas dalam serbuan di Kampung Penambang, Kota Bharu, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Satu sindiket gagal menyeludup sebanyak 50 karton berisi 240,000 batang rokok bernilai RM162,000 termasuk cukai selepas kegiatan kumpulan tersebut ketika mengangkut kesemua barangan seludup itu dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, di sebuah jeti di Kampung Penambang, Kota Bharu Sabtu lalu.

Rokok itu ditemukan ditinggal di kawasan jeti dan di dalam tiga buah kenderaan pelbagai guna (MPV) kira-kira pukul 10.22 malam menerusi Op Naga 1/2024, Op Damai Siri 33/2026, Op Pelantar Merah 3/2023 dan Op Tiris 4.0.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, pihaknya mengesan sebuah bot yang bergerak dalam gelap di sekitar Sungai Kelantan sebelum hilang apabila melalui kawasan sempit kira-kira pukul 9 malam.

Katanya, anggota bertugas menjalankan pemeriksaan di kawasan tersebut sebelum menjumpai longgokan kotak berisi rokok di tebing sungai Kampung Penambang kira-kira lebih sejam kemudian.

“Pemeriksaan lanjut di kawasan tersebut menjumpai tiga buah MPV jenis Perodua Alza, Proton Exora dan Nissan Grand Livina yang turut dipenuhi dengan kotak berisi rokok seludup.

“Keseluruhan rampasan dalam jarak 10 hingga 12 meter dari jeti itu dianggarkan sebanyak 24 kotak berisi 50 karton rokok seludup bernilai RM162,000 termasuk cukai,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat APMM Kelantan di sini, hari ini.

Kamal berkata, siasatan lanjut mendapati, pemindahan rokok seludup itu dilakukan dengan cepat dari bot ke dalam kenderaan di kawasan jeti itu.

Menurutnya, berkemungkinan sebahagian muatan belum sempat diturunkan sebelum suspek melarikan diri dengan bot pancong selepas menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia Kelantan.

“Sindiket yang terlibat dalam kes ini dipercayai terdiri daripada warga tempatan. Modus operandi sindiket penyeludupan sentiasa berubah-ubah termasuk menggunakan lokasi pendaratan berbeza bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Ini adlah rampasan pertama melibatkan rokok seludup di Kampung Penambang sekali gus menunjukkan sindiket sentiasa mencari laluan baharu menyeludup barangan ke negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut dan memindahkan barangan tanpa cukai. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN