KOTA KINABALU: Penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter bermula Julai ini merupakan bukti pentadbiran kerajaan Persekutuan cekap dalam melaksanakan reformasi ekonomi yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, langkah penyasaran subsidi menerusi penggunaan MyKad berjaya memastikan bantuan kerajaan disalurkan kepada golongan yang layak.
Katanya, mekanisme terbabit bukan sahaja meningkatkan keberkesanan sistem subsidi negara malah membantu mengurangkan ketirisan serta kegiatan penyeludupan yang sekian lama menjejaskan pengurusan subsidi.
“Pengumuman penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter mulai Julai 2026 membuktikan reformasi ekonomi dan langkah penyasaran subsidi yang dilaksanakan kerajaan kini mula memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar melalui penggunaan MyKad bukan sahaja memastikan subsidi sampai kepada rakyat Malaysia yang layak malah membantu mengurangkan ketirisan dan penyeludupan yang telah sekian lama menjejaskan keberkesanan sistem subsidi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, penurunan harga diesel itu dicapai ketika dunia masih berdepan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan terhadap pasaran tenaga global susulan konflik berterusan di Asia Barat.
Katanya, keadaan terbabit memerlukan negara mengambil pendekatan lebih strategik bagi menjamin keselamatan tenaga dan kestabilan ekonomi negara. – UTUSAN










