PETALING JAYA: Pengeluaran minyak mentah dan kondensat mencatatkan jumlah 43 juta tong pada suku pertama 2026, menyusut 5.5 peratus tahun ke tahun berbanding 45.5 juta tong dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan itu dipengaruhi oleh pengeluaran minyak mentah yang terus mencatatkan penguncupan 9.4 peratus dengan jumlah pengeluaran berkurang kepada 28.1 juta tong berbanding 31.5 juta tong yang direkodkan sebelumnya.
“Walau bagaimanapun, pengeluaran Kondensat menunjukkan pertumbuhan 3.0 peratus kepada 14.9 juta tong berbanding 14.4 juta tong pada suku pertama 2025.
“Dari segi komposisi, minyak mentah menyumbang 65.4 peratus daripada jumlah pengeluaran minyak mentah dan kondensat, manakala kondensat merangkumi 34.6 peratus.
“Sementara itu, gas asli merekodkan pengeluaran sebanyak 765.8 bilion kaki padu, menyusut 2.1 peratus berbanding negatif 1.0 peratus pada suku sebelumnya.
“Namun demikian, prestasi bulanan sepanjang suku pertama 2026 menunjukkan kadar perubahan yang lebih tinggi pada Mac berbanding dua bulan terdahulu,” katanya dalam kenyataan.
Purata Harga “Lifting” Berpemberat (WALP) bagi minyak mentah dan kondensat di Malaysia melonjak kepada AS$84.0 (RM338.64) per tong pada suku pertama 2026 berbanding AS$66.1 (RM266.48) per tong pada suku keempat 2025
Peningkatan itu selari dengan aliran kenaikan global harga WTI dan Brent, masing-masing melonjak kepada AS$72.0 per tong berbanding AS59.6 (RM240.27) per tong pada suku keeempat 2025 dan AS$80.2 (RM323.32) per tong berbanding AS$63.6 (RM256.40) per tong pada suku keempat 2025.
Mengulas mengenai prestasi perdagangan luar negara, beliau berkata, nilai eksport petroleum mentah dan kondensat berkurang kepada RM5.2 bilion pada suku pertama 2026 berbanding RM6.1 bilion pada suku tahun sebelumnya.
“Penurunan ini selari dengan eksport keluaran petroleum bertapis yang turut merekodkan pengurangan marginal kepada RM22.9 bilion berbanding RM23.9 bilion pada suku sebelumnya.
“Pada masa yang sama, eksport Gas asli cecair (LNG) turut merekodkan penurunan kepada RM12.9 bilion pada suku ini berbanding RM13.6 bilion pada suku sebelumnya,” ujarnya.
Tambahnya, import petroleum mentah dan kondensat mencatatkan penurunan kepada RM7.3 bilion pada suku pertama 2026 berbanding RM11.5 bilion yang direkodkan pada suku sebelumnya.
“Import keluaran petroleum bertapis turut merekodkan penyusutan kepada RM22.3 bilion berbanding RM22.8 bilion pada suku keempat 2025.
“Sementara itu, import gas asli cecair juga berkurang kepada RM1.3 bilion berbanding RM1.6 bilion yang direkodkan pada suku sebelumnya,” katanya. –UTUSAN










