KUALA LUMPUR: Keberanian seorang pemandu lori mempertaruhkan nyawa dengan menahan sebuah bas ekspres daripada terbabas mendapat pengiktirafan Sijil Penghargaan Khas serta wang sagu hati berjumlah RM10,000 daripada kerajaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penghargaan menerusi dana Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) itu diberikan kepada Wong Tak Ming atas tindakan pantasnya.
Katanya, tindakan itu berjaya menyelamatkan nyawa 21 penumpang bas dalam kejadian berhampiran Terowong Menora di Perak pada 15 Jun lalu.
“Oleh kerana kepantasan seorang pemandu, seorang wira yang mengambil tindakan walaupun mungkin membahayakan dirinya sendiri, tindakan itu telah berjaya mengelakkan satu kemalangan tragis dan menyelamatkan ramai nyawa manusia,” katanya pada majlis penghargaan khas di Parlimen di sini hari ini.
Anthony berkata, bas yang membawa 21 penumpang dari Kedah menuju ke Kuala Lumpur itu mengalami masalah teknikal dan hilang kawalan sepenuhnya ketika menuruni bukit berhampiran Terowong Menora.
Katanya, Tak Ming bertindak tenang dengan membiarkan bas berkenaan ‘berpaut’ pada kenderaannya bagi memperlahankan impak momentum selepas ia merempuh belakang lorinya.
“Bukan sahaja dapat memperlahankan, malah beliau berjaya memberhentikan bas itu tanpa terbabas menggunakan lorinya dengan merapatkan kenderaan ke arah penghadang jalan ketika menuruni bukit,” katanya.
Sementara itu, Tak Ming berkata, dia berbuat demikian semata-mata demi memastikan kenderaan lain di hadapan mereka sempat menyelamatkan diri dan mengelak sebarang kehilangan nyawa.
“Saya hanya terfikir situasi macam itu, seboleh-bolehnya jangan berlaku kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan kematian.
“Jarak bas agak jauh sedikit jadi sempat untuk saya tekan hon bagi memberi masa kepada kereta-kereta di depan lari menyelamatkan diri,” katanya.
Dewan Rakyat turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tak Ming atas keberaniannya.
Penghargaan disampaikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Nor selepas Anthony membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026.
Sebelum ini, tular di media sosial sebuah video memaparkan tindakan berani seorang pemandu lori yang menyelamatkan sebuah bas ekspres hilang kawalan di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan selepas Terowong Menora. – UTUSAN










