PETALING JAYA: Kerajaan digesa menguatkuasa Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bagi membendung penggunaan vape dan penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan golongan muda.
Pengerusi Biro Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Pemadam, Datuk Jamelah A. Bakar berkata, soal itu termasuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap penjualan vape menerusi media sosial, platform e-dagang, WhatsApp dan Telegram yang semakin sukar dikawal serta mudah diakses oleh golongan muda.
Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum dan menghormati keputusan Kementerian Kesihatan untuk meneruskan proses rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan pengecualian cecair dan gel nikotin daripada Senarai Racun.
“Kami menghormati hak mana-mana pihak untuk menggunakan saluran perundangan yang diperuntukkan oleh undang-undang termasuk proses rayuan yang sedang berjalan.
“Bagaimanapun, perkara yang lebih utama pada masa ini ialah memastikan segala usaha untuk membendung penggunaan vape dan penyalahgunaan bahan terlarang terus diperkukuh melalui penguatkuasaan Akta 852,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jamelah berkata, penggunaan vape yang semakin meluas khususnya dalam kalangan remaja dan dewasa muda merupakan perkembangan yang membimbangkan dan memerlukan perhatian serius semua pihak.
Katanya, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), penggunaan rokok elektronik dan vape dalam kalangan individu berumur 15 tahun ke atas meningkat daripada 0.8 peratus pada 2011 kepada 5.8 peratus pada 2023.
“Lebih membimbangkan, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat laporan mengenai penyalahgunaan vape dengan mencampurkan bahan psikoaktif dan dadah sintetik yang boleh menyebabkan ketagihan serius, perubahan tingkah laku, gangguan kesihatan mental dan risiko kematian.
“Ini menunjukkan bahawa vape bukan lagi sekadar isu nikotin semata-mata, tetapi berpotensi menjadi medium penyalahgunaan bahan terlarang yang lebih kompleks dan berbahaya,” katanya.
Menurut Jamelah, pemantauan terhadap kandungan produk vape yang berada di pasaran juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan tiada bahan terlarang, bahan psikoaktif atau dadah sintetik disalahgunakan melalui produk itu.
Pada masa sama, katanya, promosi dan pengiklanan yang menyasarkan golongan muda perlu dibendung secara lebih berkesan.
“Pemadam percaya Akta 852 telah menyediakan asas perundangan yang kukuh untuk mengawal produk merokok termasuk vape.
“Justeru, keutamaan kini ialah memastikan penguatkuasaannya diperkasa secara konsisten dan berterusan melalui kerjasama antara KKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), institusi pendidikan, ibu bapa serta masyarakat.
“Ancaman vape dan penyalahgunaan dadah tidak boleh dipandang ringan. Tindakan pencegahan yang berkesan hari ini akan menentukan keselamatan dan kesejahteraan generasi muda pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










