Peluang biasiswa buka jalan Nurin jadi anak pertama masuk Unitar

Peluang biasiswa buka jalan Nurin jadi anak pertama sambung pengajian

NURIN Imanina Mohd. Amir dapat menyambung pengajian selepas memperoleh biasiswa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Peluang melanjutkan pengajian melalui biasiswa menjadi titik perubahan buat seorang pelajar UNITAR College Sungai Petani apabila berjaya menjadi individu pertama dalam keluarganya menamatkan pendidikan sekolah menengah sebelum melangkah ke kolej.

Menurut pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Nurin Imanina Mohd. Amir, 20, laluan untuk menyambung pengajian bukan sesuatu yang mudah apabila keluarganya berdepan kekangan kewangan sehingga dia memilih untuk bekerja terlebih dahulu selepas tamat sekolah.

Katanya, bapanya pada awalnya kurang bersetuju untuk dia melanjutkan pengajian melalui pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan lebih menyarankan laluan pengajian kerajaan, namun bidang diminatinya tidak ditawarkan.

“Selepas tamat sekolah menengah, saya bekerja terlebih dahulu untuk mencari pengalaman kerana ayah pada awalnya kurang bersetuju dan tidak meletakkan harapan untuk saya menyambung pengajian melalui pinjaman PTPTN.

“Sebaliknya, ayah lebih menyarankan agar saya memilih pengajian yang ditawarkan melalui laluan kerajaan, namun bidang yang saya minat tidak ada,” katanya kepada Utusan Pelajar.

Bagaimanapun, kehidupan anak ketiga daripada empat beradik itu berubah apabila ibunya menerima panggilan memaklumkan bahawa dia terpilih untuk menyambung pengajian melalui biasiswa.

Menurutnya, peluang tersebut bukan sahaja membuka ruang untuk dia mengejar cita-cita, malah menjadi sinar baharu buat keluarganya apabila berjaya melakar sejarah sebagai individu pertama melanjutkan pengajian ke kolej.

“Selepas beberapa hari itu juga saya buat keputusan berhenti kerja. Saya rasa sangat gembira dan lebih bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depan saya dan keluarga,” katanya.

Nurin Imanina berkata, biasiswa yang diterima banyak membantu terutama dari segi kewangan selain membolehkannya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran.

“Saya berharap dapat belajar dengan baik, memperoleh keputusan yang membanggakan dan menambah banyak ilmu serta pengalaman sepanjang pengajian nanti,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN