KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipilih semula sebagai Ketua Pembangkang sejak 18 Jun lalu bukan seorang Ahli Parlimen bebas dan pelantikannya tidak bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hasan berkata, Hamzah merupakan Ahli Parlimen yang menganggotai sebuah parti politik berdaftar.
“Beliau bukan Ahli Parlimen bebas. Hamzah ialah Ahli Parlimen yang menganggotai sebuah parti berdaftar. Ia tidak bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Kenyataan itu mencetuskan pertikaian apabila Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mendakwa pembangkang tidak profesional dalam mengendalikan isu berkaitan Ketua Pembangkang.
Situasi itu mengundang bantahan daripada Ahli-ahli Parlimen pembangkang sehingga menyebabkan suasana Dewan Rakyat bertukar kecoh hampir seminit ekoran pertikaian berlaku.
Susulan itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menegaskan bahawa isu berhubung kedudukan Ketua Pembangkang tidak perlu dibangkitkan semula kerana perkara tersebut telah diputuskan.
“Saya sudah jelaskan, semua dokumentasi saya perhati, perhalusi dan Larut adalah Ketua Pembangkang,” katanya.
Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan status seseorang Ahli Parlimen sama ada perlu mengosongkan kerusinya atau sebaliknya.
Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan pemasyhuran pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat pagi tadi, Johari memaklumkan Hamzah kembali dilantik sebagai Ketua Pembangkang berkuat kuasa 18 Jun lalu.
“Yang Berhormat Larut adalah Ketua Pembangkang setakat 20 Mei 2026. Selepas itu, Yang Berhormat Kemaman (Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar) menjadi Ketua Pembangkang mulai 21 Mei hingga 10 Jun 2026.
“Kini Larut mulai 18 Jun 2026 (Khamis minggu lalu) sudah kembali menjadi Ketua Pembangkang. Tahniah Larut,” katanya ketika mempengerusikan persidangan Dewan Rakyat yang bermula hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri atas khidmat yang diberikan sepanjang memegang jawatan itu dalam tempoh berkenaan.
“Saya mengalu-alukan Yang Berhormat Larut untuk kembali berkhidmat sebagai ketua pembangkang,” katanya. – UTUSAN









