Pelan Strategik PMKS 2030 bantu usahawan digital tempatan bersaing

Pelan Strategik PMKS 2030 bantu usahawan digital tempatan bersaing

MOHAMAD ALAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah merangka Pelan Strategik Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) 2030 sebagai langkah proaktif membantu usahawan digital tempatan bersaing dengan penjual luar negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Alamin berkata, pelan tersebut bertujuan mentransformasikan PMKS di negara ini ke arah perniagaan yang lebih mampan, berdaya saing serta mampu menyesuaikan diri dengan trend baharu serta cabaran luar jangka.

Menurutnya, antara mekanisme perlindungan dan sokongan khusus yang diperkenalkan ialah platform MyMall yang menyediakan ruang pemasaran e-dagang secara percuma bagi membantu usahawan menangani isu peningkatan kos operasi.

“Sehingga 31 Mei 2026, seramai 5,776 orang peniaga telah berdaftar di MyMall dan mencatatkan nilai jualan berjumlah RM24.5 juta.

“Usahawan PMKS amat digalakkan untuk mendaftar di MyMall bagi mengembangkan perniagaan secara dalam talian tanpa dikenakan sebarang kos pemasaran,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd. Kurniawan Naim Moktar (BN-Kinabatangan) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mewujudkan dasar dan mekanisme perlindungan khusus bagi membantu usahawan digital tempatan meningkatkan daya saing berbanding penjual luar negara.

Mengulas lanjut, Alamin berkata, KUSKOP turut memperkasakan inisiatif TikTok Shop bersama TEKUN Nasional yang menyediakan kemudahan studio teknologi terkini untuk usahawan mengadakan sesi penstriman langsung (live streaming).

Katanya, inisiatif tersebut telah membuahkan hasil apabila seramai 1,054 usahawan yang menggunakan platform itu berjaya menjana nilai jualan sebanyak RM35.1 juta.

“Selain itu, aspek pendigitalan turut ditekankan melalui Program Bimbingan dan Latihan Perseorangan Bumiputera (BANGKIT) dan Latihan Keusahawanan (MOFA) oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

“Latihan berstruktur ini memberi penekanan kepada penggunaan sistem jualan (POS), pemasaran media sosial dan penggunaan e-dompet dalam urusan perniagaan seharian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Bank Rakyat melalui Program Jajahan Rakyat (JR) turut memainkan peranan besar dengan mendigitalisasikan 40 peratus daripada 627 usahawan yang terlibat di bawah inisiatif berkenaan.

“Melalui Program Jajahan Rakyat, Bank Rakyat telah mencatatkan pembiayaan sebanyak RM610,000 selain pembukaan Akaun Semasa dan Simpanan berjumlah RM194,000.

“Kesemua usaha ini adalah komitmen berterusan KDN bagi memastikan usahawan tempatan tidak ketinggalan dalam ekosistem ekonomi digital yang semakin mencabar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN