Pelajar UPM lemas: SPAN siasat pelanggaran prosedur keselamatan

Pelajar UPM lemas: SPAN siasat pelanggaran prosedur keselamatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian pelajar latihan industri Universiti Putra Malaysia (UPM) semasa kerja penyelenggaraan di Kolam Menara Saujana 1, Kuala Selangor pada 16 Jun lalu.

SPAN berkata, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat sama ada operator perkhidmatan air, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) atau kontraktor pemegang permit SPAN sekiranya didapati berlaku ketidakpatuhan prosedur.

Katanya, tindakan turut boleh dikenakan jika siasatan mendapati berlaku pelanggaran Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) serta perundangan subsidiari berkaitan.

“Berdasarkan semakan SPAN, kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja pencucian atau penyelenggaraan itu mempunyai permit berdaftar dengan SPAN.

“Maklumat awal, terdapat kemungkinan berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur keselamatan kerja di ruang terkurung, termasuk kemasukan pekerja tanpa kebenaran dan sebelum pengesahan keselamatan diberikan.

“Bagaimanapun, sebarang penemuan berkaitan punca sebenar kejadian adalah tertakluk kepada hasil siasatan rasmi dan laporan akhir yang akan dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut SPAN, pihaknya memandang serius insiden berkenaan khususnya kerana ia melibatkan kehilangan nyawa.

Suruhanjaya itu turut menerima makluman berhubung insiden terbabit pada 17 Jun dan telah mengadakan lawatan tapak ke lokasi kejadian pada 18 Jun.

“Hasil maklumat yang diperoleh semasa lawatan mendapati kerja pencucian kolam perkhidmatan secara berjadual telah dijalankan pada 16 Jun oleh vendor yang dilantik.

“Semasa kejadian, paras air di dalam kolam dilaporkan berada pada paras pinggang. Dua pekerja mengalami kesulitan berhampiran kawasan scour point berdiameter 200 milimiter (mm). Seorang lagi dilaporkan tersangkut di kawasan terbabit,” jelasnya.

SPAN memaklumkan, bantuan pernafasan kecemasan (CPR) telah diberikan, namun mangsa disahkan meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital UiTM untuk bedah siasat.

“Punca kematian awal dilaporkan mati lemas. Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) melawat lokasi pada 17 Jun dan seterusnya mengeluarkan Notis Larangan.

“Pada 18 Jun, SPAN bersama Air Selangor dan JKKP mengadakan lawatan susulan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

Menurut suruhanjaya berkenaan, wakil JKKP memaklumkan siasatan terperinci akan dijalankan bagi memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum melaksanakan kerja-kerja berisiko tinggi.

“JKKP juga memaklumkan bahawa laporan penuh akan dikeluarkan setelah siasatan rasmi selesai. Keselamatan dan kesihatan pekerjaan kekal sebagai keutamaan utama dalam semua pelaksanaan kerja penyelenggaran agar ia tidak berulang lagi pada masa akan datang.

“Selain itu, langkah penambahbaikan akan terus diberi perhatian bagi memastikan pematuhan prosedur keselamatan, kawalan kerja di ruang terkurung, pengawasan kontraktor serta pengurusan risiko di tapak kerja dilaksanakan dengan lebih ketat dan berkesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN