SERAMAI empat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat mencatat kecemerlangan apabila memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 sekali gus mengekalkan reputasi sekolah terbaik STPM sekolah rancangan Felda di negara ini.
Lebih membanggakan, sebahagian daripada pelajar cemerlang tersebut merupakan anak dan cucu peneroka Felda yang membuktikan latar belakang luar bandar bukan penghalang untuk mencapai kejayaan akademik pada peringkat tertinggi.
Pelajar yang memperoleh PNGK 4.00 ialah Nadhratul Hanan Mohd. Safarizan, 20, anak peneroka Felda Jengka 20; Nur Amni Najla Mohd. Jalaluddin, 20, dari Felda Ulu Jempol yang juga cucu peneroka Felda; Anas Safwan Nuraim Azizan, 20; dan Nurul Arisya Damia Azrizal, 20, dari Bandar Jengka.
Guru Penolong Kanan Tingkatan Enam SMK Jengka Pusat, Ahmad Rusydi Daniel Cheng Abdullah berkata, seramai 66 calon menduduki STPM tahun ini dengan sekolah mencatatkan kelulusan 100 peratus dan PNGK keseluruhan 3.21, sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai sekolah terbaik STPM di daerah Maran.
Menurut beliau, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Pejabat Pendidikan Daerah Maran, pentadbir sekolah, guru-guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa serta pelbagai agensi termasuk Yayasan Pahang, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dan Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF).
“Keputusan ini bukan dicapai secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha gigih pelajar, dedikasi guru dan sokongan berterusan ibu bapa. Kami amat berbangga kerana generasi muda mampu membuktikan keupayaan mereka untuk bersaing dan mencapai kecemerlangan pada peringkat tertinggi,” katanya kepada Utusan Pelajar selepas pengumuman keputusan STPM di sekolah itu baru- baru ini.
Sementara itu, bekas Pengetua SMK Jengka Pusat yang mewakili Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Darussalam Taib berkata, kejayaan empat pelajar memperoleh PNGK 4.00 serta pencapaian lulus 100 peratus mengukuhkan lagi kedudukan sekolah berkenaan sebagai institusi pendidikan unggul dan membuktikan pelajar luar bandar mempunyai potensi besar untuk berjaya sekiranya diberikan peluang, bimbingan dan sokongan yang berterusan.-UTUSAN









