Pelajar SMKSS cemerlang SPM dirai

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang (SMKSS) cemerlang SPM dirai

NOOR Mohamad Shakil Hameed (berdiri lapan dari kiri) bersama Tengku Zarena Tengku Azam dan barisan pentadbir sekolah bergambar bersama pelajar cemerlang SPM 2025 di Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik (MAKA) 2026 di SMK Seri Serdang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seramai 65 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik (MAKA) 2026 Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang (SMKSS) yang diadakan di sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Majlis tersebut diadakan sebagai penghargaan kepada pelajar yang menunjukkan pencapaian akademik cemerlang sepanjang tahun 2025 melibatkan peperiksaan bagi semua tingkatan bermula daripada kelas peralihan hingga Tingkatan Lima.

Lebih bermakna, pelajar cemerlang SPM 2025 turut diraikan bersama ibu bapa masing-masing sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan pengorbanan mereka dalam memastikan kejayaan anak masing-masing.

Selain meraikan pelajar, majlis berkenaan turut memberi penghargaan kepada panitia mata pelajaran yang merekodkan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan SPM 2025 sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan dedikasi guru dalam meningkatkan prestasi akademik sekolah.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Noor Mohamad Shakil Hameed. Dalam ucapannya, beliau berkata, kecemerlangan akademik bukan sahaja diukur melalui keputusan peperiksaan semata-mata, tetapi turut melibatkan pembentukan sahsiah, disiplin dan jati diri pelajar.

Sementara itu, Pengetua SMKS, Tengku Zarena Tengku Azam berkata, majlis berkenaan merupakan platform penting bagi menghargai usaha dan dedikasi pelajar yang telah membuktikan kecemerlangan dalam bidang akademik.

Menurut beliau, kejayaan yang dicapai bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan individu, malah menggambarkan kerjasama erat antara pihak sekolah, guru dan ibu bapa dalam melahirkan murid yang berilmu, berdaya saing dan holistik.

“Semoga pengiktirafan ini menjadi inspirasi kepada seluruh murid untuk terus melakar kejayaan serta menyumbang kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Dalam majlis ini Shaik Muhammad Ariffin Shaik Hassan yang bercita-cita menjadi Doktor telah dinobatkan Anugerah Pelajar Terbaik SPM 2005. Shaik Muhammad Ariffin yang telah mencatatkan keputusan 9A turut meraih anugerah pencapaian terbaik bagi mata pelajaran Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Pendidikan Islam dan Matematik.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian anugerah mengikut kategori kecemerlangan akademik, penghargaan kepada panitia mata pelajaran cemerlang

SPM 2025 serta anugerah khas kepada pelajar terbaik dan individu yang menunjukkan peningkatan prestasi memberangsangkan sepanjang tahun lalu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN