SEPANG: RedFiress Film Production dengan kerjasama Captain Filmmakers Sdn Bhd tampil berani menerusi penghasilan filem Jerat yang mampu menawarkan pengalaman sinematik dengan nilai produksi lebih besar serta kualiti yang memenuhi citarasa penonton masa kini.
filem seram arahan pengarah berpengalaman, Roy Krishna itu dijangka menggabungkan emosi, debaran dan ketegangan yang dibangunkan secara teliti bagi memberi pengalaman tontonan yang lebih mendalam.
Menurut Roy, keputusan untuk tampil dengan pendekatan produksi yang lebih besar bukan dilakukan secara kebetulan, sebaliknya melalui penelitian dan kajian terhadap perkembangan industri filem serta perubahan corak penerimaan penonton yang kini semakin terbuka terhadap pengalaman sinematik yang lebih intensif.
Katanya, usaha tersebut turut digerakkan dengan hasrat untuk memastikan Jerat mampu tampil dengan standard yang lebih tinggi serta mempunyai nilai yang boleh bersaing dengan karya luar.
“Pendekatan ini diambil kerana kami mahu filem ini kelihatan lebih bertaraf antarabangsa. Kami turut membuat kajian terhadap pelbagai karya luar negara bagi memahami trend dan cita rasa penonton masa kini.
“Berdasarkan kajian dilakukan, ramai penonton lebih tertarik kepada babak yang mampu menimbulkan rasa takut, cemas dan geli, sekali gus memberikan impak emosi lebih kuat. Jalan ceritanya dibangunkan dengan teliti dan menunjukkan tahap kematangan yang sangat baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media dan Majlis Pelancaran Filem Jerat di sebuah hotel berhampiran Sepang, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai arah tuju filem tersebut, Roy yang sebelum ini berjaya menerusi filem Zaara (Zaara Bukan Nama Aku) dan Sumpahan Syaitan menjelaskan, Jerat dibangunkan dengan identiti yang lebih segar berbanding kebanyakan karya yang berada di pasaran ketika ini.
“Sebelum ini penonton lebih banyak disajikan dengan filem yang mengetengahkan elemen aksi dan perjuangan, Jerat pula memberi penekanan kepada unsur seram sebagai elemen utama yang menggerakkan keseluruhan perjalanan cerita.
“Pendekatan tersebut dilihat sebagai antara usaha untuk menghadirkan pengalaman berbeza kepada penonton selain memperkukuhkan elemen ketegangan yang menjadi kekuatan utama naskhah berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Roy turut mengambil pendekatan strategik dalam pemilihan barisan pelakon dengan menggabungkan pelakon berpengalaman, penyanyi terkenal serta pempengaruh media sosial bagi menarik perhatian pelbagai kelompok penonton terutama generasi muda.
Jerat menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air antaranya Pekin Ibrahim, Aprena Manrose, Stacy, Captain Palani, Datuk Jalaluddin Hassan, Qamarina Lim serta Razib Salimin.
Katanya, kombinasi tersebut diyakini mampu mewujudkan keseimbangan antara kekuatan lakonan, tarikan komersial serta kemampuan untuk mendekati khalayak yang lebih luas.
“Saya percaya gabungan pelakon berpengalaman, influencer dan kekuatan jalan cerita mampu memberikan impak positif kepada industri filem tempatan,” katanya.
“Saya berharap, Jerat bukan sahaja diterima penonton tempatan, malah berupaya mencipta nama di peringkat antarabangsa menerusi kualiti produksi yang tinggi,” ujarnya.
Sesi penggambaran filem Jerat dijadualkan berlangsung sekitar Ogos hingga September depan dan akan membabitkan beberapa lokasi strategik dalam negara termasuk Selangor, Johor, Pahang, Perak serta beberapa kawasan lain yang bersesuaian dengan keperluan penceritaan.










