Pejuang, PCM sudah kemuka senarai kerusi PRN Johor

Pejuang, PCM sudah kemuka senarai kerusi PRN Johor

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor ketika ditemui di pekarangan Pejabat Agung Pas, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua parti baharu dalam Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Cinta Malaysia (PCM), sudah mengemukakan senarai kerusi yang ingin ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, senarai itu dikemukakan dalam rundingan pembahagian kerusi melibatkan empat parti komponen gabungan berkenaan di Pejabat Agung Pas, di sini hari ini.

Beliau berkata, rundingan itu berjalan lancar dan akan disambung esok pagi bagi memuktamadkan pembahagian kerusi.

“Kita kemukakan senarai masing-masing. Mereka pun sudah kemukakan senarai, jadi kita runding.

“Dua parti baharu itu ada kerusi yang mereka inginkan, tetapi kita berunding. Tugas saya berunding sahaja, keputusan PN akan buat,” katanya ketika ditemui di pekarangan Pejabat Agung Pas, di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, jumlah kerusi yang akan ditandingi setiap parti komponen akan diumumkan selepas rundingan selesai.

Katanya, pengumuman itu akan dibuat sebelum hari penamaan calon PRN Johor, Sabtu ini.

“Hari ini rundingan kerusi membabitkan empat komponen berjalan lancar, smooth, alhamdulillah. To be continued tomorrow,” katanya.

Beliau berkata, PN akan menggunakan logo gabungan itu pada PRN Johor dan menolak dakwaan kononnya gabungan berkenaan akan menggunakan logo Barisan Nasional (BN).

“Bertanding pakai logo PN, insya-Allah. Memang rundingan ini pasal logo PN, tidak ada apa-apa yang lain.

“Cakap-cakap kononnya guna logo BN itu tidak berbangkit,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan menerima Pejuang dan PCM sebagai parti anggota baharu dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berlangsung di Pejabat Agung Pas malam tadi.

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan berkata, mesyuarat itu turut bersetuju supaya agihan kerusi PRN Johor dimuktamadkan melalui Jawatankuasa Rundingan Kerusi dalam tempoh segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN