KUALA LUMPUR: Pihak polis akan memastikan pelaksanaan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan tidak lama lagi berjalan lancar.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, sehubungan itu, tahap kesiapsiagaan pasukan akan dipertingkatkan termasuk menambah bilangan anggota.
“Di Negeri Johor, saya difahamkan memerlukan bantuan tenaga kerja daripada PDRM lebih kurang 4,000 ke 5,000 orang.
“Johor begitu besar dengan jumlah lebih kurang 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. Jadi kita menjaga semua tempat-tempat undian saluran-saluran yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar Majlis Pelancaran Perangi Scam: Dua Pasukan Satu Matlamat di sini hari ini.
Tambah Mohd. Khalid, jumlah bantuan anggota dan pegawai polis juga adalah bergantung kepada permintaan Ketua Polis Negeri yang berkenaan.
“Polis akan bantu sebaik mungkin supaya ia berjalan dengan baik dan sempurna,” ujarnya.
Hari pengundian PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai ini manakala PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 1 Ogos. – UTUSAN










