PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor sudah memulakan persiapan awal bagi memastikan kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, persiapan awal amat penting supaya segala perancangan berkaitan keselamatan dapat disusun dengan teliti dan setiap keperluan operasi dapat dikenal pasti lebih awal.
“Saya dimaklumkan bahawa PDRM Johor telah memulakan pelbagai persediaan melibatkan penugasan anggota, aspek keselamatan, logistik serta penyelarasan antara agensi bagi memastikan proses pilihan raya nanti dapat berlangsung dalam keadaan yang aman, teratur dan terkawal.
“Apa yang penting, rakyat dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan selesa dan yakin, manakala suasana demokrasi yang sihat terus dipelihara.
“Insya-Allah, dengan persiapan rapi serta kerjasama semua pihak, Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor 2026 akan dapat dilaksanakan dengan lancar, aman dan harmoni demi kepentingan rakyat dan Johor,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau membuat hantaran itu selepas melakukan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi mendengar taklimat berkaitan persiapan serta tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam menghadapi PRN Johor.
DUN Johor dibubarkan pada Isnin lalu selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan mesyuarat khas bagi urusan PRN Johor ke-16 akan diadakan pada 12 Jun.
Mesyuarat itu bertujuan membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Johor, termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut. – UTUSAN










