KOTA BHARU: Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diramal berlaku antara Oktober hingga November tahun ini berpandukan kepada perkembangan semasa situasi politik negara.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, seluruh jentera parti disaran membuat persediaan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan jika berlaku pilihan raya.
“Tidak lama lagi berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan dan selepas itu mungkin Melaka. Berkemungkinan selepas PRN Melaka, Parlimen akan dibubarkan kerana banyak tanda-tanda dan desas-desus mengatakan PRU tahun ini, cuma masih berteka-teki dari segi bulan atau tarikh.
“Ada kata Julai selepas Perdana Menteri pulang dari lawatan luar negara, namun pandangan lebih kuat pada penghujung Oktober dan November,” katanya semasa berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud. – UTUSAN










