KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kini pada fasa akhir penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pengawalan Baja bagi mengawal selia standard kualiti, rantaian pengedaran dan memastikan kestabilan bekalan baja di pasaran negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, draf RUU berkenaan menunjukkan perkembangan positif dengan kemajuan antara 70 hingga 80 peratus setakat ini.
Katanya, penggubalan undang-undang khusus itu amat penting bagi memastikan kualiti baja sentiasa terjamin selain melindungi pengusaha sektor pertanian daripada sebarang manipulasi dalam rantaian pengedaran.
“Ketika ini, kita sedang dalam proses menggubal RUU Baja. Saya dimaklumkan bahawa proses tersebut telah mencapai kira-kira 70 hingga 80 peratus kemajuan.
“Ini merupakan satu perkara yang penting dan saya berharap apabila dibentangkan nanti, semua Ahli Parlimen dapat memberikan sokongan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang membangkitkan kebimbangan petani berhubung bekalan baja di pasaran yang didakwa tidak menepati standard kualiti setiap kali berlaku krisis global.
Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Dr. Radzi Jidin (PN-Putrajaya), Foong Hin berkata, konflik geopolitik dunia telah memberi kesan langsung terhadap peningkatan kos bahan api serta input pertanian seperti baja dan racun.
Katanya, keadaan itu turut meningkatkan risiko gangguan terhadap bekalan makanan domestik sekiranya tidak ditangani secara berkesan.
“Kerajaan komited melaksanakan pelbagai strategi mitigasi bagi memastikan rantaian bekalan makanan negara tidak terputus.
“Antara langkah yang diambil termasuk pengecualian sementara cukai jualan serta peningkatan peruntukan bantuan khas kepada pesawah padi bagi mengurangkan beban kos pengeluaran.
“KPKM turut merancang untuk memperkukuh ekosistem agromakanan negara menerusi penggubalan akta baharu serta penyediaan stok simpanan kecemasan bagi menghadapi sebarang gangguan bekalan pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










