PARLIMEN: Kerajaan tunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung cukai vape

PARLIMEN: Kerajaan tunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung cukai vape

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan kerajaan berhubung isu berkaitan produk vape yang mengandungi cecair atau gel nikotin termasuk aspek kutipan duti dan cukai akan dibuat selaras dengan keputusan Mahkamah Rayuan kelak.

Kementerian Kewangan berkata, kerajaan mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung semakan kehakiman terhadap perintah pengecualian cecair atau gel nikotin daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952 [Akta 366].

“Memandangkan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkenaan, sebarang keputusan kerajaan mengenai isu berbangkit akan dibuat selepas keputusan Mahkamah Rayuan kelak,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Ia bagi menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai implikasi percukaian membabitkan produk vape bernikotin susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan semakan kehakiman terhadap perintah pengecualian cecair atau gel nikotin daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan tindakan Menteri Kesihatan dan kerajaan yang mengecualikan cecair dan gel rokok elektronik daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952 adalah tidak rasional.

Hakim Datuk Aliza Sulaiman membuat keputusan itu selepas mendapati pengecualian yang dimasukkan dalam Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023 dibuat tanpa rundingan sewajarnya dengan Lembaga Racun.

Beliau berkata, keputusan mengecualikan cecair dan gel nikotin bagi rokok elektronik daripada kawalan Akta Racun dibuat lebih menjurus kepada faktor ekonomi susulan cadangan pengenaan duti eksais terhadap produk berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN