KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti penggunaan teknologi analitik ramalan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi menangani isu keselamatan dan penguatkuasaan di perairan utara Semenanjung.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, KDN turut bersetuju untuk memperluaskan penggunaan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) termasuk aset dron secara berperingkat bagi tujuan berkenaan.
Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif itu adalah selaras dengan Pelan Strategik KDN 2026 hingga 2030 serta Pelan Strategik Kecerdasan Buatan KDN 2026–2030.
“Penggunaan UAV akan bertindak sebagai pengganda keupayaan kepada aset kapal dan bot sedia ada melalui pelaksanaan pemantauan udara secara masa nyata, terutama di kawasan luas yang berisiko tinggi serta mempunyai liputan pengawasan terhad.
“Teknologi ini akan membantu meningkatkan keupayaan pengesanan awal terhadap pergerakan bot mencurigakan,” katanya dalam sesi soal jawab dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mengenai kesiapsiagaan aset dan anggota agensi keselamatan di Langkawi bagi menangani ancaman penyeludupan migran atau barang kawalan, serta cadangan penggunaan aset dron.
Shamsul Anuar berkata, KDN juga meneliti cadangan mewujudkan Pangkalan Operasi Hadapan Bersepadu di Teluk Ewa, Langkawi yang akan menempatkan beberapa agensi penguatkuasaan secara bersama.
Agensi berkenaan, katanya, membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Inisiatif ini dijangka meningkatkan kecekapan penyelarasan operasi serta agensi, selain mempercepat masa tindakan balas serta memperkukuh keupayaan pengawasan dan penguatkuasaan dalam membanteras jenayah rentas sempadan.
“Bagi tujuan pemantauan di kawasan perairan negara, APMM juga menggunakan sistem pengawasan laut (SWASLA) bagi mengesan kontak dan aktiviti yang mencurigakan di kawasan berkenaan,” katanya. – UTUSAN










