KLUANG: Seorang lelaki warga emas sanggup mengeluarkan duit belanja sendiri dengan membuat tempahan untuk sepasang baju Barisan Nasional (BN) yang akan dipakainya sepanjang tempoh 14 hari sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Alias Samat ,68, berkata, sebaik mendapat maklumat adanya PRN awal bulan Jun lalu, langkah awalnya adalah mencari sebuah kedai jahit yang sanggup menjahit bendera disediakannya itu.
Katanya, bendera BN yang disimpan sejak 10 tahun itu akhirnya berjaya dijadikan sepasang pakaian (baju dan seluar) lengkap beserta satu topi tukang masak tertulis Go Solo.
“Alhamdulilah, baju yang telah siap seminggu lalu dapat digunakan hari ini bagi mengiringi calon Barisan Nasional (BN) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Saya agak terkejut apabila pakaian saya pakai ini telah mendapat perhatian penyokong BN serta orang-orang kenamaan yang turut sama dalam perarakan pagi ini,” katanya. – UTUSAN










