PUTRAJAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kini dalam fasa akhir bagi memuktamadkan penyata berhubung isu pengurusan lapangan terbang awam dan laporan itu akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat nanti.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, PAC memandang serius siri gangguan perkhidmatan yang berlaku kebelakangan ini sehingga menjejaskan penyampaian perkhidmatan dan imej negara di mata pelancong dan pelabur asing.
Beliau berkata, PAC menegaskan bahawa setiap pelan transformasi yang dirancang oleh Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) mestilah diterjemahkan secara tuntas kepada peningkatan mutu perkhidmatan rantaian di lapangan terbang.
“PAC memantau secara langsung urusan pengoperasian harian dan fasiliti baharu dan yang sudah dinaik taraf, demi memastikan usaha meremajakan KLIA benar-benar mampu meningkatkan pengalaman dan kepuasan pelanggan secara optimum,” katanya ketika ditemui selepas melawat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi meneliti isu dan tindakan penambahbaikan di lapangan terbang berkenaan, di sini hari ini.
Katanya, lawatan kerja ke KLIA itu memberi gambaran lebih jelas kepada jawatankuasa berkenaan mengenai status sebenar projek berimpak tinggi termasuk Aerotrain dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS).
Mas Ermieyati berkata, lawatan ke KLIA turut bertujuan mengesahkan maklumat serta kemajuan projek yang sebelum ini dibentangkan kepada PAC sepanjang 19 prosiding berkaitan pengurusan lapangan terbang.
“Kita turun ke bawah untuk semak kali kedua kerja-kerja dan input yang diberikan sewaktu prosiding sebelum ini.
“Bila tengok sendiri tapak projek, status kemajuan dan struktur kritikal seperti BHS, anggota PAC mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai perkara yang dilaporkan,” katanya. – UTUSAN










