Nelayan Melaka dibenar tangkap ikan semula di perairan Pulau Besar

Nelayan Melaka dibenar tangkap ikan semula di perairan Pulau Besar

AB. Rauf Yusoh mengadakan sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka bagi Jun 2026 di MITC, Ayer Keroh hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 1,241 nelayan berlesen di Melaka kini boleh kembali menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan perairan Pulau Besar selepas Kerajaan Persekutuan memberi kebenaran khas yang disifatkan sebagai kemenangan besar kepada komuniti nelayan tempatan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, keputusan yang dibuat pada 15 April lalu itu merupakan hasil perbincangan, rundingan dan usaha berterusan Kerajaan Negeri Melaka dalam memperjuangkan kebajikan dan kelangsungan hidup nelayan yang terjejas akibat sekatan aktiviti menangkap ikan di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah menerima makluman rasmi daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Jabatan Perikanan Malaysia berhubung kelulusan tersebut.

“Keputusan ini amat signifikan kerana ia berjaya mewujudkan keseimbangan antara usaha pemuliharaan sumber perikanan dan biodiversiti marin dengan keperluan sosioekonomi komuniti nelayan tempatan.

“Kerajaan Persekutuan telah mengambil kira kepentingan nelayan Melaka dan bersetuju memberikan kebenaran khas kepada nelayan berlesen negeri ini untuk menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan yang sebelum ini dilarang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka bagi Jun 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.

Ab. Rauf berkata, kawasan perairan Pulau Besar telah diwartakan sebagai Kawasan Larangan Perikanan sejak tahun 1998 di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994 bagi tujuan melindungi sumber marin dan biodiversiti negara.

Katanya, pewartaan tersebut menyebabkan nelayan tempatan tidak dibenarkan menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan tertentu di sekitar pulau berkenaan selama hampir tiga dekad.

“Keadaan itu menyebabkan sebahagian nelayan terpaksa bergerak lebih jauh ke laut untuk mendapatkan hasil tangkapan, sekali gus meningkatkan kos operasi termasuk penggunaan bahan api dan masa berada di laut,” katanya.

Menurut beliau, kebenaran khas itu diberikan melalui Pekeliling Pelesenan Bilangan 2 Tahun 2026 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia dengan beberapa syarat bagi memastikan aktiviti penangkapan ikan dilaksanakan secara terkawal dan lestari.

Beliau berkata, antara syarat yang ditetapkan ialah kebenaran hanya diberikan kepada nelayan berlesen yang berpangkalan di Melaka, penggunaan vesel atau sampan tradisional yang mempunyai lesen sah serta penggunaan peralatan menangkap ikan berasaskan kaedah kail-mengail seperti pancing, rawai dan candat sotong.

Katanya, aktiviti penangkapan ikan hanya dibenarkan antara pukul 6.00 pagi hingga 6.00 petang dan operasi hanya boleh dijalankan di kawasan yang telah ditetapkan di bahagian utara Pulau Besar.

“Pada masa yang sama, aktiviti memancing dari daratan Pulau Besar kekal dibenarkan tanpa had masa seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Ujarnya, kerajaan negeri yakin keputusan tersebut akan memberikan manfaat besar kepada 1,241 komuniti nelayan tempatan menerusi peningkatan hasil tangkapan dan pendapatan mereka tanpa menjejaskan agenda pemuliharaan sumber marin negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN