PETALING JAYA: Pelakon, Nad Zainal meluahkan rasa kagum terhadap golongan wanita yang memiliki tona kulit sawo matang atau ‘tan skin’ yang disifatkannya kelihatan bersih.
Nad Zainal atau Farah Nadia Zainal Abidin, 36, bagaimanapun mengakui impiannya untuk memiliki warna kulit sebegitu sering kali gagal kerana mendatangkan masalah kepada kulit wajahnya sendiri.
“Saya sebenarnya suka melihat wanita yang memiliki kulit jenis sawo matang. Namun, setiap kali saya cuba menggelapkan kulit, penampilan saya terus kelihatan comot secara automatik.
“Masalah menjadi lebih pakej apabila wajah saya mula ditumbuhi jerawat akibat terkena sinaran matahari. Sebab itulah saya berasa sangat kagum dengan wanita berkulit sawo matang yang mempunyai kulit mulus dan warna sekata,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Dalam pada itu, Nad yang juga ibu kepada empat cahaya mata ini turut berkongsi situasi lucu mengenai warna kulitnya yang tidak sekata pada bahagian anggota badan yang lain.
“Kalau keadaan diri saya sekarang, bahagian muka kelihatan gelap manakala bahagian tangan pula cerah. Keadaan menjadi lebih pelik apabila warna kulit pada leher pula berada dalam kategori sederhana gelap,” ujarnya.
Sementara itu, pelakon drama Takdir Yang Tertulis ini sempat menitipkan pesanan kepada anak lelakinya, Budi, berhubung penjagaan warna kulit mereka.
“Saya selalu berpesan kepada Budi supaya membiarkan ibunya ini memiliki kulit yang cerah, manakala dia pula kekal dengan kulit berwarna coklat. Saya berjanji akan menjaga Budi dengan baik dan comel-comel sehinggalah dia membesar nanti, dan dia hanya mengangguk sahaja tanda setuju,” kongsinya.
Terdahulu, Nad pernah berkahwin dengan Muhammad Faliq Amirullah pada 2015 namun bercerai pada September 2022. Menerusi perkahwinan pertama, beliau dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fahad Ibrahim dan Budi Kalsom.
Namun begitu? Nad telah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Ungku Ismail Aziz pada 23 Januari 2023 dah dikurniakan dua cahaya mata.










