Sejak kematian Ulung Deris pelbagai cerita kurang enak mula bertebaran di kampung tersebut. Sudah lali telinga Hisham mendengar cerita yang bukan-bukan pasal arwah termasuklah cerita kononnya jasad arwah tidak diterima bumi sehinggakan jelmaannya merayau-rayau di sekitar kampung.
Hisham malas hendak ambil tahu sangat. Fikirnya, kalau dia percaya bulat-bulat apa yang diceritakan oleh orang kampung memang boleh panas hati juga dibuatnya. Maklumlah arwah Ulung Deris itu adalah bapa saudaranya.
Bak kata orang cubit paha kanan, paha kiri pun terasa juga.
Jika dihitung sudah beberapa hari juga Hisham berada di kampung. Dia sudah merancang ingin pulang semula ke Kuala Lumpur memandangkan cutinya sudah habis, lagi pun urusan pengebumian Ulung Deris sudah selamat disempurnakan. Jadi, fikirnya adalah lebih baik dia uruskan kembali kerjanya yang bertimbun di pejabat.
Malam itu, selepas selesai solat Isyak Hisham mengemas barang-barangnya. Awal-awal lagi dia sudah beritahu kedua ibu bapanya untuk bertolak pulang pada waktu tengah malam memandangkan suasana ketika itu lebih tenang tanpa sebarang hiruk pikuk.
Ayah dan ibunya juga memang sudah faham dengan perangai Hisham yang suka memandu di waktu malam. Memang setiap kali pulang ke kampung atau balik semula ke bandar Hisham akan bertolak pada waktu tersebut, mereka tidak ambil kisah asalkan sentiasa berhati-hati dan selamat sampai ke destinasi.
Selesai bersalaman dengan ahli keluarga, Hisham hidupkan enjin kenderaan dan berlalu pergi. Dia toleh jam di kenderaan, sudah hampir pukul 12 malam. Suasana cukup sunyi dan tenang ketika itu. Hisham mematikan penghawa dingin dan menurunkan tingkap. Tenang sungguh rasanya memandu di waktu begini, bisiknya dalam hati.
Hisham pandu dengan penuh hati-hati ketika melalui jalan kecil menuju keluar dari kampungnya. Dia tahu waktu begini memang tiada kenderaan lain yang akan melalui jalan tersebut cuma yang menjadi kerisauannya jika ada haiwan atau ternakan yang melintas.
Sedang leka memandu tiba-tiba hidungnya menangkap aroma yang kurang menyenangkan. Bau busuk yang cukup meloyakan. Hisham tahan nafas seketika sambil toleh ke kiri dan kanan jalan yang gelap gelita itu.
Bau busuk bercampur hamis itu memenuhi segenap ruang kenderaannya. Rasa berpinar dan pening kepala Hisham dibuatnya.
“Huh, busuknya! Bau bangkai apa pula ini,” ngomelnya perlahan.
Kembang kempis hidungnya menahan bau yang semakin menusuk ke rongga hidung itu. Dia sudah tidak tahan lagi, terus dia berhentikan kenderaan dan meluru keluar.
UWEKKK… UWEKKKK… UWEKKK…
Hisham mengurut-urut dadanya perlahan. Dia sendiri tidak sangka bau busuk tersebut membuatkannya muntah sebegitu. Pelik sungguh, sebelum ini tidak pernah lagi dia tercium bau sebegitu. Kalau hendak katakan berpunca daripada bangkai binatang mustahil pula kerana pastinya akan dialihkan oleh orang kampung terlebih dahulu.
Sebaik sahaja Hisham membuka pintu untuk masuk semula ke dalam kereta tiba-tiba dia tergamam. Mulutnya terlopong apabila terlihat satu sosok sedang berada di kerusi belakang.
Dengan bantuan cahaya lampu di dalam kereta, Hisham dapat melihat dengan jelas sosok tersebut dibaluti kain kafan dengan ikatan punjut di kepalanya. Saling tak tumpah seperti pocong.
Wajahnya cukup mengerikan, nampak hitam kemerah-merahan seperti terbakar, kulit di pipinya pula seakan disiat-siat sehingga menampakkan kesan luka dan darah yang menggerikan. Biji matanya pula merah seperti terperosok ke dalam dari kelopak matanya.
Hisham menggigil ketakutan. Wajahnya pucat tidak berdarah. Mahu sahaja rasanya dia berlari sekuat hati meninggalkan keretanya, namun kakinya seakan terpasak ke bumi.
Sosok berupa pocong itu duduk kaku di kerusi. Matanya memandang tepat ke arah Hisham. Walaupun raut wajahnya tidak sempurna namun dia dapat melihat dengan jelas wajah sosok tersebut saling tidak tumpah seperti wajah bapa saudaranya Ulung Deris.
Kumat kamit mulut Hisham membaca ayat-ayat suci al-Quran walaupun setiap bacaannya tidak sempurna dan tunggang langgang, dan dengan spontan dia lantas melaungkan azan.
ALLAHHUAKBAR… ALLAHUAKBAR…
ALLAHHUAKBAR… ALLAHUAKBAR…
Dengan izin Allah SWT sosok yang menakutkan itu tiba-tiba ghaib daripada pandangan. Hisham gosok matanya berkali-kali.
Matanya liar pandang ke kiri kanan. Nampak seperti tidak ada apa yang berlaku. Kedengaran hanyalah bunyi cengkerik dan unggas yang melatari suasana malam. Tanpa fikir panjang Hisham terus masuk ke dalam kereta dan memecut pergi.
Sebaik sahaja kenderaan yang dipandunya masuk ke jalan besar. Dia menarik nafas lega. Lampu-lampu di kiri kanan jalan seakan menghilangkan rasa takutnya ketika itu. Sesekali dia menoleh juga ke arah cermin pandang belakang dalam keretanya, risau kalau-kalau sosok pocong itu muncul di keretanya sekali lagi.
Sepanjang perjalanan menuju ke ibu kota, fikiran Hisham menerawang jauh memikirkan apa yang berlaku sebentar tadi. Nampaknya dia terpaksa akur dan percaya dengan kata-kata orang kampung sebelum ini tentang kewujudan hantu yang menyerupai Ulung Deris.
Namun yang menjadi persoalannya ketika ini apa yang membuatkan perkara itu berlaku? Adakah Ulung Deris ada menuntut ilmu salah atau pun dia ada ‘membela’ sesuatu yang mereka tidak tahu? Otak Hisham terus ligat berfikir…-UTUSAN









