KUALA LUMPUR: Komen balas pelakon, Rita Rudaini mengenai perkongsian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Asyraf Wajdi Dusuki tentang amalan buli mencuri perhatian di laman sosial.
Rita, 50, turut memaklumkan tindakan mencuri yang menjadi sebahagian daripada amalan buli, tidak pernah selesai apabila si pelaku semakin seronok melakukan perkara tersebut.
“Mencuri makin meningkat, tetapi dianggap biasa bila dilaporkan dan tidak pernah selesai.
“Pencuri makin seronok mencuri, nanti besar jadi pemimpin yang suka mencuri,” katanya.
Terdahulu, Asyraf menerusi Thread memaklumkan faktor utama beliau memerangi kes buli dalam agensi itu adalah untuk melidungi anak-anak daripada terikut-ikut dengan amalan tersebut.
Dalam masa yang sama, Rita turut memetik isu kronisme dalam kalangan individu berjawatan serta kakitangan MARA yang turut menjadi sebahagian punca amalan buli semakin membarah.
“Anak yang layak terpaksa melihat peluangnya diambil oleh anak yang ‘dikenali’ kerana ibu bapa mereka ada jawatan dan kakitangan MARA.
“Bila kronisme menjadi budaya, kelayakan hanya tinggal syarat di atas kertas, mematikan semangat budak.
“Usaha macam mana pun, tiada tempat. Ini satu pembulian ke atas pelajar yang benar-benar layak,” ujarnya. – UTUSAN










