MCCC sokong polis terima semua laporan tanpa diskriminasi - Utusan Malaysia

MCCC sokong polis terima semua laporan tanpa diskriminasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Pencegahan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) menyokong penuh arahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya semua laporan orang awam diterima tanpa mengira pakaian, etnik atau latar belakang individu yang tampil mendapatkan bantuan.

Pengerusi MCCC Pahang, Daniel Khoo berkata, pendekatan itu mencerminkan prinsip keadilan, kesaksamaan dan profesionalisme yang perlu terus menjadi tunjang dalam penyampaian perkhidmatan pasukan keselamatan negara.

Katanya, setiap individu berhak menerima perlindungan dan bantuan sewajarnya apabila berdepan kecemasan, ancaman jenayah atau situasi yang boleh membahayakan nyawa.

“Pendekatan ini amat dialu-alukan kerana keselamatan rakyat perlu mengatasi sebarang bentuk diskriminasi.

“Semua individu berhak mendapatkan bantuan dan perlindungan tanpa mengira pakaian, etnik atau latar belakang mereka.

“Ia juga membuktikan komitmen PDRM untuk terus mendahulukan rakyat serta menjunjung prinsip keadilan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pasukan keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Daniel berkata, layanan adil dan prihatin daripada pihak polis bukan sahaja mampu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi keselamatan negara, malah dapat memperkukuhkan hubungan antara polis dan komuniti.

Katanya, kepercayaan masyarakat terhadap pasukan keselamatan amat penting bagi memastikan usaha pencegahan dan pembanterasan jenayah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Apabila rakyat yakin bahawa mereka akan dilayan secara adil, mereka tidak akan teragak-agak untuk tampil membuat laporan, menyalurkan maklumat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa.

“Kepercayaan awam merupakan aset yang sangat penting dalam memperkukuhkan sistem keselamatan negara dan ia perlu dipelihara secara berterusan,” ujarnya.

Beliau turut berharap pendekatan berteraskan kemanusiaan dan profesionalisme itu dapat terus diperkasakan di seluruh negara bagi memastikan kebajikan serta keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Terdahulu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim dilaporkan mengarahkan semua Ketua Polis Daerah (OCPD) di negeri itu supaya memastikan setiap laporan daripada orang awam diterima tanpa mengira pakaian, etnik mahupun latar belakang individu yang hadir ke balai polis.

Beliau menegaskan setiap individu berhak menerima bantuan dan perlindungan sewajarnya apabila berdepan situasi yang mengancam keselamatan diri, selaras dengan peranan PDRM sebagai benteng keselamatan negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN