PETALING JAYA: Sebuah masjid baharu yang mampu menampung lebih 1,500 jemaah akan dibina di Bukit Bintang dan dijangka siap pada awal tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, projek pembinaan masjid itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama pelbagai pihak.
Katanya, ia melibatkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Reka bentuk dan pelan masjid berkenaan telah disiapkan, manakala kerja-kerja pembinaan fizikal akan dimulakan dalam masa terdekat.
“Apabila siap nanti, semua jemaah akan tertumpu ke masjid baharu tersebut, manakala pusat komuniti Outreach Oasis Bukit Bintang (OOBB) yang kini berfungsi sebagai Surau Jumaat Sementara akan meneruskan aktiviti dakwah,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jumaat Sementara OOBB, hari ini.
Surau berkenaan buat pertama kali mengadakan solat Jumaat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan (Khas) Bilangan 4/2026 yang bersidang pada 8 Jun lalu bersetuju memberikan kebenaran pelaksanaan solat Jumaat sementara di OOBB. – UTUSAN










