Mara peruntuk RM145,000 perkasa lima MRSM terbaik SPM 2025

Mara peruntuk RM145,000 perkasa lima MRSM terbaik SPM 2025

ASYRAF Wajdi Dusuki (dua kiri) menyerahkan Anugerah Tokoh Pendidik MARA kepada Zulfakar Maamor (tengah) pada Hari Anugerah Pendidik MARA di Hotel Premiera di sini hari ini. Turut sama, Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman (dua kanan). - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperuntukkan RM145,000 bagi melaksanakan Program Pembangunan Kecemerlangan MRSM Berprestasi Tinggi 2025.

Ia sebagai penghargaan terhadap kejayaan lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang mendominasi kedudukan teratas dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kejayaan MRSM Tun Ghafar Baba, MRSM Gemencheh, MRSM Taiping, MRSM Pengkalan Chepa dan MRSM Kuala Kubu Bharu membuktikan sistem pendidikan yang dibangunkan Mara berjaya melahirkan generasi cemerlang secara menyeluruh.

“Bagi saya, kejayaan MRSM dalam SPM 2025 yang mendominasi kedudukan teratas merupakan satu isyarat jelas bahawa sistem yang kita bangunkan telah berjaya melahirkan generasi yang seimbang.

“Oleh demikian, bagi meraikan dan memberi pengiktirafan di atas kejayaan ini, saya mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM145,000 bagi pelaksanaan Program Pembangunan Kecemerlangan MRSM Berprestasi Tinggi 2025 di kelima-lima MRSM tersebut.

“Mudah-mudahan tahun depan kita dapat melonjakkan lagi pencapaian ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Anugerah Pendidik Mara 2026 di sini hari ini.

Menurut Asyraf Wajdi, cabaran sebenar bukan sekadar mencapai kejayaan, sebaliknya mengekalkan kecemerlangan yang telah diraih.

“Mara mahu lebih banyak MRSM berada dalam kelompok sekolah terbaik negara pada masa akan datang, selain terus menitikberatkan aspek akhlak dan disiplin pelajar.

“Kecemerlangan pendidik tidak dapat dipisahkan daripada kebajikan mereka yang perlu terus dipelihara,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, Mara memahami cabaran besar yang dipikul guru-guru MRSM yang bukan sahaja mengajar di bilik darjah malah turut melaksanakan tugas sebagai warden untuk membentuk sahsiah pelajar.

“Sehubungan itu, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa kesemua 58 buah MRSM akan menerima penempatan warden lantikan luar secara berperingkat.

“Inisiatif ini bertujuan mengurangkan beban tugas guru, membolehkan mereka memberi tumpuan yang lebih kepada pengajaran dan pembelajaran, selain memperkukuh pengurusan asrama serta meningkatkan tahap disiplin dan kesejahteraan pelajar,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan inisiatif itu dibuat selepas projek rintis di beberapa MRSM menunjukkan hasil yang positif.

Katanya, Mara turut menjalankan kajian menyeluruh selama enam bulan dengan kerjasama pakar bagi menilai keberkesanan pelaksanaan warden lantikan luar sebelum diperluaskan ke semua 58 MRSM.

“Langkah ini diharap dapat memperkukuh pengurusan asrama dan membantu mengurangkan isu disiplin terutama kes buli dalam kalangan pelajar.

“Apabila tanggungjawab pengurusan asrama dapat dikongsi, guru akan mempunyai lebih banyak ruang untuk memberi fokus kepada pengajaran dan seterusnya meningkatkan kecemerlangan akademik serta pembangunan sahsiah pelajar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN