MANIA’26 tarik 1,000 pengunjung semarak bakat belia - Utusan Malaysia

MANIA’26 tarik 1,000 pengunjung semarak bakat belia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Program MANIA’26: Battle, Beat & Business Peringkat Kebangsaan berjaya mencatatkan kehadiran kira-kira 1,000 pengunjung sekali gus membuktikan sambutan memberangsangkan terhadap usaha memperkasa keusahawanan serta pembangunan bakat generasi muda.

Program anjuran Exco Ekonomi dan Keusahawanan, Majlis Mahasiswa Aminurrashid (MMKHAR) Sesi 2025/2026 itu berlangsung di Dewan Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dengan kerjasama strategik Warung Miah Western & Thai serta MUA Muallim dan disokong oleh penaja, Lensa Mawar.

Penganjuran program berstatus kebangsaan itu menghimpunkan mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS), komuniti belia, usahawan tempatan serta orang awam dalam suasana yang meriah dan penuh semangat.

Penyertaan daripada pelbagai institusi termasuk UiTM Shah Alam, UiTM Kampus Sungai Buloh dan UniKL MIMET turut mengukuhkan kedudukan MANIA’26 sebagai platform yang membuka ruang kepada mahasiswa dan belia dari seluruh negara untuk mengembangkan potensi masing-masing.

Mengangkat konsep pembangunan mahasiswa secara holistik, MANIA’26 menggabungkan elemen keusahawanan, kreativiti, hiburan dan teknologi menerusi pelbagai aktiviti menarik seperti reruai jualan usahawan, pertandingan Face Off: Make-Up Battle, Gone In Seconds: Fastest Eating Challenge, Chicken Dinner Showdown E-Sport Tournament serta Battle of the Band.

Keunikan program itu terserlah apabila setiap pertandingan disusuli dengan sesi penyampaian hadiah sejurus tamat acara, sekali gus memastikan momentum dan keterujaan peserta serta pengunjung kekal sepanjang hari.

Majlis perasmian turut diserikan dengan penyampaian hadiah bagi pertandingan Gone In Seconds: Fastest Eating Challenge, yang menjadi antara tumpuan utama pengunjung apabila peserta dicabar menamatkan hidangan Giant Burger tajaan Warung Miah Western & Thai dalam tempoh terpantas.

Pengarah Program, Puteri Marsya Farzana Muhammad Farouq Ragubathy berkata, MANIA’26 membuktikan bahawa keusahawanan mampu dipersembahkan melalui pendekatan lebih segar dan kreatif yang dekat dengan minat generasi muda.

“Program ini bukan sahaja menjadi medan untuk peserta menyerlahkan bakat dalam pelbagai bidang, malah memberi pengalaman sebenar dalam aspek pengurusan program, pemasaran, penajaan dan pembinaan jaringan profesional,” katanya.

Menurut beliau, penglibatan vendor mahasiswa dan usahawan tempatan menerusi reruai jualan turut memberikan pendedahan praktikal mengenai dunia perniagaan termasuk pemasaran produk, pembangunan jenama dan penjanaan pendapatan.

Secara keseluruhannya, MANIA’26 berjaya mencapai matlamat penganjurannya dalam memperkukuh budaya keusahawanan, mencungkil bakat generasi muda serta memperluaskan jaringan kerjasama antara institusi pendidikan, industri dan komuniti di peringkat nasional.

Kejayaan penganjuran program itu dilihat sebagai langkah signifikan dalam melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berbakat dan kreatif, malah mempunyai daya saing tinggi serta berjiwa usahawan selaras dengan keperluan masa depan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN