LABUAN: Malaysia kekal tegas mempertahankan kedaulatan, hak berdaulat dan kepentingan strategik negara di wilayah daratan serta maritim termasuk di Pulau Layang-Layang yang terletak dalam Gugusan Semarang Peninjau di Laut China Selatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, komitmen itu diterjemahkan menerusi kehadiran berterusan kerajaan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan berkenaan yang turut berdepan tuntutan bertindih beberapa negara.
Menurutnya, Pulau Layang-Layang merupakan antara kawasan yang dituntut oleh China, Vietnam dan Filipina, justeru Malaysia tidak akan berkompromi dalam soal mempertahankan kedaulatan negara.
“Ini adalah barisan hadapan negara dan kita akan terus mempertahankannya. Kehadiran kita secara berterusan membuktikan kawasan ini adalah milik Malaysia dan komitmen kerajaan untuk mempertahankannya tidak pernah berubah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas tinjauan dan lawatan kerjanya di Stesen LIMA Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Pulau Layang-Layang, di sini, kelmarin.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan; Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Laut; Laksamana Tan Sri Dr Zulhemly Ithnain,
Panglima Tentera Udara; Jeneral Tan Sri Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris dan Panglima Angkatan Bersama; Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi.
Dalam pada itu Mohamed Khaled berkata, Stesen LIMA memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan pertahanan negara di Gugusan Semarang Peninjau menerusi fungsi pemantauan, pengumpulan maklumat risikan dan sokongan logistik kepada aset TLDM serta agensi keselamatan lain.
Katanya, maklumat yang diperoleh akan disalurkan kepada Markas Pemerintahan Armada Timur bagi membantu operasi pemantauan dan kawalan keselamatan perairan negara.
“Stesen ini bukan sahaja bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara, malah membantu operasi kapal TLDM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang beroperasi di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memperkukuhkan keupayaan pertahanan di Pulau Layang-Layang termasuk melalui pemasangan radar pertahanan udara yang dijangka siap menjelang 2029.
Menurutnya, pulau itu ketika ini telah dilengkapi radar maritim bagi mengesan pergerakan kapal, manakala radar baharu yang bakal dipasang akan meningkatkan lagi keupayaan pengawasan ruang udara negara.
“Dengan kelengkapan yang saling melengkapi antara satu sama lain, keupayaan kesedaran domain maritim negara akan terus dipertingkatkan,” ujarnya.
Mengulas mengenai pencerobohan kapal asing, Mohamed Khaled mengakui insiden sedemikian masih berlaku, namun kewujudan Stesen LIMA serta penggunaan Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) banyak membantu usaha pengesanan dan pemantauan ancaman di kawasan perairan negara.
Sementara itu, beliau berkata Pulau Layang-Layang turut mempunyai potensi besar dalam sektor perikanan, pelancongan dan penyelidikan yang boleh dimanfaatkan bagi merancakkan ekonomi negara.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan mengalu-alukan penyertaan sektor swasta termasuk dalam pembangunan produk pelancongan di kawasan berkenaan selaras dengan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).
“Penyertaan sektor swasta dan rakyat dalam pembangunan kawasan strategik seperti ini secara tidak langsung turut menyumbang kepada usaha mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.
Beliau menegaskan, Pulau Layang-Layang akan terus dipertahankan kerana kedudukannya yang strategik sebagai barisan hadapan negara serta simbol keazaman Malaysia dalam mempertahankan kepentingan nasional di Laut China Selatan. – UTUSAN










