Malaysia sokong aspirasi Turkiye jadi Rakan Dialog ASEAN

Malaysia sokong aspirasi Turkiye jadi Rakan Dialog ASEAN

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menyokong aspirasi Turkiye untuk menjadi Rakan Dialog ASEAN sebagai usaha memperkukuh hubungan negara itu dengan rantau Asia Tenggara.

Kedutaan Malaysia di Ankara memaklumkan, perkara itu disampaikan Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Adlan Mohd. Shaffieq ketika menyerahkan Surat Tauliah beliau kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden pada 17 Jun lalu.

Adlan berkata, Turkiye muncul sebagai rakan penting kepada Asia Tenggara menerusi penglibatan ekonomi yang berkembang, pandangan strategik serta hubungan antara rakyat yang semakin kukuh dengan negara-negara anggota ASEAN.

Beliau turut menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh persahabatan dan perkongsian strategik yang telah lama terjalin dengan Turkiye menerusi penglibatan peringkat tinggi secara berkala serta kerjasama yang semakin erat khususnya dalam bidang pendidikan, pertahanan dan industri halal.

“Malaysia dan Turkiye berkongsi hubungan istimewa yang dibina atas dasar kepercayaan, rasa hormat serta aspirasi bersama terhadap keamanan, kemakmuran dan pembangunan.

“Berdasarkan hubungan peribadi yang kukuh antara Presiden Erdogan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita harus memanfaatkan visi bersama mereka untuk memperdalam kerjasama dalam semua sektor,” katanya.

Sementara itu, Erdogan ketika mengalu-alukan Adlan menyatakan keyakinan bahawa hubungan perdagangan antara Malaysia dan Turkiye akan terus berkembang serta mencapai sasaran AS$10 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN