PUTRAJAYA: Malaysia dan Russia meneroka mekanisme bersama bagi memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala menggunakan mata wang tempatan (Ringgit dan Ruble).
Perkara itu dicapai menerusi perbincangan bersama antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin yang antara lain memperkukuhkan hubungan dalam sector tenaga sebagai antara bidang strategik kedua-dua negara.
Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, kedua-dua pemimpin turut menyentuh usaha memperluas kerjasama ekonomi termasuk menghargai ketetapan Persekutuan Rusia memberikan kerjasama jangka panjang dalam aspek bekalan tenaga dan minyak.
“Mereka juga bertukar pandangan mengenai peluang memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi baharu, keselamatan siber, digital, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden dan farmaseutikal.
“Perbincangan turut merangkumi usaha memudah cara pergerakan rakyat melalui pemansuhan visa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, kerajaan akan terus mengambil langkah strategik dan proaktif bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara.
Ini termasuk melalui kerjasama antarabangsa yang mampu menjamin kestabilan, kesinambungan dan daya tahan bekalan tenaga demi kepentingan rakyat serta kemakmuran negara. – UTUSAN










