JOHOR BAHRU: Majoriti Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Johor kekal bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.
Hanya Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom sebelum ini digugur daripada senarai calon diumumkan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Kebudayaan negeri, K. Raven Kumar pula bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemelah, bertukar dari DUN Tenggaroh.
Seramai sembilan exco termasuk Onn Hafiz akan mempertahankan kerusi DUN yang disandang masing-masing selepas mendapat mandat daripada rakyat pada PRN Johor 2022 lalu.
Onn Hafiz mengumumkan beliau akan bertanding di kerusi DUN Machap; bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip (Buloh Kasap) dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Bukit Pasir).
Selain itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid kekal bertanding di kerusi DUN Semerah; bekas Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon (Yong Peng) dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han turut bertanding di kerusi DUN yang disandang iaitu Paloh.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin bakal mempertahankan kerusi DUN Tanjung Surat; bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor pula kekal bertanding di kerusi DUN Bukit Permai dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah (Larkin). – UTUSAN










