KUALA LUMPUR: Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada Isnin ini dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, majlis pelancaran rasmi perkhidmatan itu akan berlangsung di depot projek berkenaan Ahad ini.
“Semua wakil media akan dijemput secara rasmi,” katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan pejabat baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Bandar Tasik Selatan di Terminal Bersepadu Selatan di sini
Dalam pada itu, Anthony Loke berharap Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 yang akan dibahaskan di Dewan Rakyat esok dapat diluluskan.
Beliau berkata, pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan itu akan dibentangkan untuk perbahasan sebelum diputuskan oleh Ahli Parlimen.
“Harap ia dapat diluluskan dan dilaksanakan dalam kadar segera,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai siasatan berhubung gangguan perkhidmatan melibatkan Landasan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling, beliau berkata, siasatan masih dijalankan.
“Kami akan memberikan maklumat lanjut mengenainya dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN










