KUALA LUMPUR: Pelakon, Lisa Surihani memaklumkan dia masih menerima tawaran lakonan dan perkara itu tidak putus sejak awal pembabitannya dalam dunia seni tanah air.
Namun bukan semua tawaran yang diberikan diterima pemilik nama penuh Lisa Surihani Mohamed kerana beberapa faktor yang harus dipertimbangkan terlebih dahulu.
“Saya tak pernah menyatakan yang saya berhenti berlakon. Cuma ada tawaran yang mungkin tidak diterima akibat kekangan masa, jalan cerita, watak dan sebagainya.
“Tapi, sejak berhijrah pada 2019, saya lebih berlapang dada terhadap tawaran lakonan, serahkan semua perancangan kepada Ketentuan Allah,” katanya.
Lisa berkata demikian sewaktu konsert semi final Talk To My Manager Musim Ke-2 Ahad lepas.
Mengulas mengenai kepulangannya dari mengerjakan ibadah Haji, Lisa bersyukur kerana doa untuk mengerjakan rukun Islam kelima dimakbulkan Allah.
“Saya bersyukur, semuanya dengan izin Allah. Ini antara doa yang saya hajatkan dari tahun 2022.
“Masa itu saya minta Allah izinkan saya melaksanakan Haji pada usia 40 tahun bersama suami.
“Bahagian yang dimakbulkan adalah Haji di usia 40 tahun. Allah maha mengetahui kenapa suami tak dapat pergi. Kita bersangka baik,” katanya lagi.
Disoal mengenai perjalanan hidup selepas bergelar Hajjah, Lisa memaklumkan ia satu permulaan kepada kehidupan lebih baik.
“Itu yang saya harapkan. Bak kata ilmuwan agama, ia sekadar permulaan. Mungkin terlalu awal untuk mengatakan hidup saya sudah berubah.
“Saya masih dalam perjalanan tersebut. Yang paling penting adalah saya imarahkan rukun, syarat dan hikmah ibadah Haji dalam kehidupan,” ujarnya. – UTUSAN










