Lima dikebumi dalam satu liang, satu di P. Pinang

Lima dikebumi dalam satu liang, satu di P. Pinang

JENAZAH lima daripada enam sekeluarga yang maut nahas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Abidi di Merbok, Sungai Petani. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Jenazah lima daripada enam sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kampung Baru Pinang Tunggal, kelmarin, dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Masjid Al Abidi, Merbok, kira-kira pukul 10 pagi semalam.

Kesemua jenazah melibatkan Lans Koperal Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 29, isterinya Jamaliah Sannusi, 29, dan bayi mereka, Ahmad Mikail berusia dua bulan.

Turut disemadikan ialah ibu Ahmad Shafiq, Allahyarhamah Nora Mhd. Husin, 55, dan adik­nya, Ahmad Fahim, 21, yang turut terkorban dalam nahas ngeri itu.

Kesemua mereka dikebumikan berhampiran pusara arwah bapa, Ahmad Shukri Osman yang juga suami kepada Nora yang meninggal dunia pada Februari 2024.

Kesemua jenazah dibawa ke Masjid Jamek Al-Abidi di Simpang Tiga Pasir, Merbok dekat sini untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan.

Terdahulu, lebih 300 ahli keluarga dan saudara-mara serta anggota dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan IPD Seberang Perai Selatan serta warga Hospital Sungai Bakap turut hadir pada majlis pengebumian.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang meninggal dunia, Iskandar Affan Ibrahim, 7, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Kuang, Penaga, Pulau Pinang kira-kira pukul 2 pagi.

Iskandar Affan ialah anak saudara Ahmad Shafiq yang turut berada dalam Proton X50 dinaiki tujuh sekeluarga itu termasuk seorang lagi anak Ahmad Shafiq iaitu Aulia Sofea, 3, yang cedera parah dan masih dirawat di hospital.

Sebelum itu, jenazah enam sekeluarga yang maut dalam kemalangan dengan lori tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal di Sungai Petani selesai dibedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Dalam kejadian sekitar pukul 3.45 petang kelmarin, kesemua mangsa menaiki kereta baharu milik Ahmad Fahim yang diambil kelmarin dan dalam perjalanan menuju ke Merbok untuk menziarahi pusara Ahmad Shukri.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) itu remuk teruk setelah bertembung dengan lori muatan tanah di laluan bertentangan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN