Lapan kes pecah rumah, polis buru suspek warga Indonesia - Utusan Malaysia

Lapan kes pecah rumah, polis buru suspek warga Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Polis giat mengesan sekumpulan lelaki warga Indonesia yang disyaki terlibat dalam beberapa kes pecah rumah dan samun di sekitar Ayer Tawar dan Pekan Gurney, di sini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, sehingga kini polis menerima lapan laporan berkaitan kejadian pecah rumah dan samun yang dipercayai melibatkan kumpulan suspek berkenaan sepanjang tahun ini.

Menurut beliau, hasil risikan mendapati kumpulan tersebut dipercayai menjadikan rumah yang terletak berhampiran kawasan pinggir hutan dan terpencil sebagai sasaran utama.

“Polis kini mengesan kumpulan yang terdiri daripada tiga hingga empat warga Indonesia yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes-kes tersebut,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan rumah berada dalam keadaan berkunci dan meningkatkan ciri-ciri keselamatan kediaman termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, orang ramai juga disaran agar tidak menyimpan wang tunai dalam jumlah yang banyak di rumah bagi mengelakkan menjadi sasaran penjenayah.

“Saksi atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau talian Hotline WhatsApp 017-6828005 bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN