Kes eksploitasi pekerja menurun drastik sejak 2023

Kes eksploitasi pekerja menurun drastik sejak 2023

KHAIRUL Firdaus Akbar Khan dalam perasmian Seminar Sinergi Nasional Mencegah dan Membasmi Pemerdagangan Orang dan Eksploitasi Pekerja (Zon Tengah) di Dewan Multaqam, Maju Tower, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa yang diselamatkan dalam kes pemerdagangan manusia dan eksploitasi pekerja menunjukkan penurunan drastik sejak tiga tahun lalu.

Ia hasil pelbagai langkah penguatkuasaan dan advokasi yang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, perkembangan itu menunjukkan impak positif hasil tindakan berterusan kerajaan dalam membanteras jenayah berkenaan.

“Pada tahun 2021 dan 2022, kita berada di kedudukan tercorot Tier 3 manakala dari tahun 2023 hingga 2025 berlaku peningkatan positif yang meletakkan Malaysia pada kedudukan Tier 2.

“Melalui pemeriksaan umum dan tindakan buruh dengan 386 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di seluruh negara, sebanyak 311 kertas siasatan berjaya dibuka.

“Sementara itu, daripada 141 kes yang didakwa, sebanyak  233 kes telah dikenakan kompaun dengan nilai keseluruhan mencecah RM 1.05 juta ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Sinergi Nasional Mencegah dan Membasmi Pemerdagangan Orang dan Eksploitasi Pekerja (Zon Tengah) di sini hari ini.

Khairul Firdaus berkata, data dari tahun 2023 hingga 2026 menunjukkan penurunan ketara dalam jumlah mangsa yang diselamatkan.

“Rekod menunjukkan mangsa yang diselamatkan menurun menjadikan ia empat orang setakat Mei 2026 berbanding 70 mangsa pada 2023. 

“Begitu juga dengan jumlah kertas siasatan yang dibuka daripada 11 kertas siasatan menjadikan ia empat pada tahun ini.

“Kalau kita lihat data daripada tahun 2023 sehingga 2026 ketika ini, memang ada penurunan secara drastik. Namun penurunan ini tidak semestinya memberikan jaminan isu ini telah selesai.

“Kita tidak boleh mengambil mudah perkara ini. Apa juga bentuk perancangan dan tindakan yang dilakukan oleh kementerian serta JTKSM telah memberikan kesan positif kepada industri secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada majikan supaya sentiasa mematuhi standard perburuhan kebangsaan dan antarabangsa bagi mengelakkan sebarang bentuk eksploitasi terhadap pekerja.

“Pemerdagangan orang dan eksploitasi pekerja adalah satu jenayah kemanusiaan yang boleh mencalar imej negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN