IPOH: Orang ramai diingatkan supaya tidak bertindak secara melulu atau mengambil tindakan sendiri berhubung kempen tular yang kononnya mengajak orang ramai menangkap pendatang Rohingya di Perak.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, sebarang tindakan yang dibuat secara peribadi hanya mengundang risiko dan boleh mencetuskan keadaan tidak terkawal.
Katanya, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan rasmi berkaitan perkara berkenaan.
“Sekiranya ada salah laku daripada komuniti Rohingya, mereka perlu buat laporan polis terlebih dahulu supaya pihak polis sendiri yang mengambil tindakan.
“Masyarakat diingatkan supaya jangan ambil tindakan secara ‘personal’, biar polis lihat perkara ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perak di Mes Pegawai Kanan Perak, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, tiada sebarang laporan diterima daripada orang awam berhubung kebimbangan mereka terhadap kehadiran etnik Rohingya di kawasan penempatan warga tempatan.
Bagaimanapun katanya, pihak polis sentiasa menjalankan pemantauan dan meninjau aktiviti komuniti itu dari semasa ke semasa bagi menjamin keharmonian dan keselamatan awam.
“Rohingya ini memang mereka akan duduk berkelompok. Kita (polis) sentiasa buat pemantauan secara berkala terhadap komuniti tersebut,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial Facebook sejak dua hari lalu gerakan yang berbunyi ‘kempen tangkap Rohingya sudah bermula di negeri Perak’ dengan merekodkan 8,000 komen dan 2,600 perkongsian serta meraih 71,000 tanda ‘like’. – UTUSAN










