Kempen Piala Dunia 2026: MCMC kesan portal judi dalam talian

Kempen Piala Dunia 2026: MCMC kesan portal judi dalam talian

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengambil tindakan terhadap sebarang aduan berkaitan kandungan atau pautan berunsur perjudian dalam talian, sempena kempen Piala Dunia 2026 Khamis ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, orang ramai digesa menyalurkan aduan kepada MCMC sekiranya mengesan sebarang kandungan sedemikian bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Menurut beliau, aktiviti perjudian dalam talian adalah dilarang di negara ini dan pihak berkuasa mempunyai mekanisme untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat.

“Kepada orang awam, sekiranya anda melihat pautan ataupun kandungan yang bersifat judi dalam talian, sila panjangkan aduan kepada pihak MCMC untuk diambil tindakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Persidangan Meja Bulat Pelaporan Media Selamat dan Sesi Latihan Interaktif: Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Mengenai Tingkah Laku Bunuh Diri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, tindakan sama turut boleh dikenakan terhadap laman sesawang atau portal yang menawarkan perkhidmatan perjudian dalam talian.

Katanya, kerjasama orang ramai amat penting bagi membantu pihak berkuasa membanteras penyebaran kandungan perjudian yang semakin memanfaatkan platform digital untuk beroperasi.

“Mana-mana laman sesawang yang menawarkan perjudian dalam talian juga boleh diambil tindakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN