Kekalkan 20 batang gigi menjelang usia 60 tahun

Kekalkan 20 batang gigi menjelang usia 60 tahun

Salah satu komponen yang perlu diberi perhatian adalah perkhidmatan pergigian domisiliari, iaitu rawatan yang diberikan di tempat tinggal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelancaran Kempen 6020 dan inisiatif Kembara Senyuman oleh Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini membawa mesej yang ringkas tetapi bermakna iaitu individu berusia 60 tahun disasarkan mempunyai sekurang-kurangnya 20 batang gigi asli.

Sasaran ini merupakan satu penunjuk kepada keupayaan seseorang untuk mengekalkan fungsi asas seperti makan, bertutur dan berinteraksi dengan yakin. Mesej yang dibawa ini jelas selari dengan konteks masyarakat Malaysia yang semakin menua.

Menjelang tahun 2030, lebih 15 peratus rakyat Malaysia dijangka berumur 60 tahun ke atas. Namun, data semasa menunjukkan hanya sebahagian kecil warga emas mencapai sasaran tersebut.

Jurang ini menggambarkan cabaran sebenar dalam memastikan penuaan yang sihat dan bermakna untuk warga Malaysia.

Keadaan ini menuntut kita menilai semula makna penuaan sihat. Penuaan yang berkualiti tidak diukur hanya melalui jangka hayat, tetapi melalui keupayaan untuk terus berfungsi secara bermakna dalam kehidupan harian.

Dalam hal ini, kesihatan mulut memainkan peranan yang tidak boleh dipisahkan daripada kesihatan keseluruhan. Apabila keupayaan mengunyah terjejas, pilihan makanan turut berubah. Makanan berserat atau bertekstur keras mula dielakkan, selera makan menurun, dan akhirnya pengambilan nutrisi menjadi tidak seimbang.

Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh mempercepatkan kemerosotan kesihatan fizikal dan menjejaskan pengurusan penyakit kronik.

Sehubungan itu, sasaran mengekalkan sekurang-kurangnya 20 batang gigi menjelang usia 60 tahun perlu dilihat sebagai permulaan penting kepada perbincangan yang lebih mendalam. Matlamat sebenar bukan hanya mengekalkan bilangan gigi, tetapi memastikan fungsi mulut kekal baik, selesa dan seterusnya menyokong kualiti hidup warga emas.

Salah satu komponen yang perlu diberi perhatian adalah perkhidmatan pergigian domisiliari, iaitu rawatan yang diberikan di tempat tinggal pesakit, termasuk di rumah atau pusat jagaan.

Pendekatan ini amat diperlukan bagi warga emas yang mempunyai keterbatasan pergerakan atau kebergantungan kepada penjaga.

Kementerian Kesihatan sememangnya telah mengambil langkah awal dalam menyediakan perkhidmatan ini, termasuk melalui inisiatif seperti Kembara Senyuman yang membawa rawatan terus ke komuniti. Namun, dengan pertambahan pesat populasi warga emas, keperluan terhadap perkhidmatan ini dijangka akan meningkat dengan ketara.

Dalam hal ini, adalah tidak realistik untuk bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan pergigian awam bagi memenuhi keseluruhan keperluan, justeru, pendekatan yang lebih menyeluruh perlu dipertimbangkan, termasuk pengukuhan kerjasama antara sektor awam dan swasta.

Model public–private partnership (PPP), serta pembangunan mekanisme pembiayaan yang sesuai, berpotensi memainkan peranan penting dalam memastikan perkhidmatan domisiliari dapat diperluaskan secara mampan dan saksama.

Pada masa sama, pembangunan kapasiti tenaga kerja perlu bergerak seiring dengan keperluan ini. Latihan bakal doktor pergigian tidak lagi boleh terhad kepada kemahiran rawatan klinikal semata-mata. Mereka perlu memahami bahawa penjagaan warga emas melibatkan lebih daripada aspek fizikal, termasuk cabaran kognitif, emosi dan sosial yang mempengaruhi cara pesakit menerima dan memberi respons terhadap rawatan.

Keupayaan untuk menyesuaikan pendekatan rawatan, berkomunikasi dengan pesakit dan penjaga, serta memahami keperluan individu secara menyeluruh merupakan kemahiran yang semakin penting dalam landskap kesihatan masa kini.

Pada masa sama, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat perlu diperkukuh. Tanda awal seperti gusi berdarah, gigi longgar, mulut kering atau kesukaran mengunyah sering dianggap sebagai sebahagian daripada proses penuaan.

Persepsi ini menyebabkan ramai hanya mendapatkan rawatan apabila masalah telah menjejaskan makan, tidur atau percakapan. Individu dan keluarga perlu lebih peka terhadap perubahan kecil yang berlaku.

Secara kesimpulan, kesihatan mulut tidak terhad kepada isu klinikal, tetapi berkait rapat dengan keupayaan seseorang untuk menjalani kehidupan harian dengan selesa. Ia menentukan sama ada seseorang warga emas boleh menikmati makanan, berkomunikasi dengan jelas dan mengekalkan keyakinan diri.

Dalam menghadapi realiti masyarakat menua, keutamaan tidak seharusnya tertumpu kepada bilangan gigi semata-mata, tetapi memastikan fungsi, maruah dan kesejahteraan warga emas terus terpelihara.-UTUSAN

 

Prof. Madya Dr. Haslina Rani ialah Pensyarah Kanan dan Pakar Kesihatan Awam Pergigian, Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala Prof. Dr. Tuti Ningseh Mohd. Dom ialah Dekan dan Pakar Kesihatan Awam Pergigian Fakulti Pergigian, UKM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN