Kedai Emas Sri Semantan sasar buka 30 cawangan baharu

Kedai Emas Sri Semantan sasar buka 30 cawangan baharu

Hafizal (tiga dari kiri) menandatangani plak sempena perasmian Cawangan KESS di Bandar Baru Bangi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Kedai Emas Sri Semantan Sdn. Bhd. (KESS) menyasarkan pembukaan antara 25 hingga 30 cawangan baharu di seluruh negara tahun ini susulan peningkatan permintaan terhadap pembelian serta simpanan emas dalam kalangan masyarakat.

Ahli Lembaga Pengarah KESS, Shaaini Md. Jumaat berkata, pembukaan cawangan ke-16 syarikat itu di Bandar Baru Bangi menjadi langkah strategik bagi memenuhi keperluan pelanggan khususnya di kawasan Lembah Klang Selatan yang berkembang pesat.

Menurut beliau, pemilihan Bandar Baru Bangi dibuat berdasarkan pertumbuhan populasi penduduk selain kesedaran tinggi masyarakat terhadap kepentingan emas sebagai aset simpanan jangka panjang.

“Dari segi lokaliti, populasi penduduk di Bandar Baru Bangi semakin meningkat. Selain itu, tahap kesedaran masyarakat di sini terhadap pembelian dan simpanan emas amat membanggakan. Itulah faktor utama yang membuatkan kami membuka cawangan di sini,” katanya.

Majlis pembukaan cawangan baharu itu disempurnakan Pengerusi Eksekutif KESS, Mohamad Hafizal Mahmood dan turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah syarikat, Sharif Saman.

Shaaini berkata, pembukaan cawangan di Bangi juga mampu menampung peningkatan pelanggan dari kawasan sekitar termasuk Seremban dan Melaka yang sebelum ini mendapatkan perkhidmatan di cawangan Shah Alam.

Beliau berkata, pelanggan turut ditawarkan potongan harga RM20 bagi setiap gram emas yang dibeli sempena pembukaan cawangan baharu selain berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah kereta.

Mengulas prestasi syarikat, beliau berkata, pendapatan KESS meningkat lebih 60 peratus berbanding tahun lalu hasil pembukaan lebih 15 cawangan baharu dalam tempoh empat hingga lima bulan kebelakangan ini.

“Alhamdulillah, jika dinilai, setiap cawangan baharu kami tidak pernah kekurangan pelanggan dan ini menyumbang secara langsung kepada peningkatan hasil jualan yang amat memberangsangkan,” katanya.

Hafizal (tengah) berucap merasmikan Cawangan KESS di Bandar Baru Bangi.

Beliau berkata, KESS bakal membuka cawangan ke-17 di Kemaman, Terengganu pada penghujung bulan ini sebelum meneruskan pengembangan rangkaian ke Sungai Petani, Kedah pada awal bulan hadapan.

Dalam perkembangan sama, Shaaini memaklumkan KESS kini memiliki kilang emas sendiri di Puncak Alam yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada Ogos depan bagi memperkukuhkan lagi kapasiti pengeluaran syarikat.

Tambahnya, kilang tersebut bakal menawarkan pengalaman unik kepada pelanggan apabila mereka dibenarkan melihat sendiri proses pengeluaran emas secara terbuka.

“Sehingga kini komuniti pelanggan Sri Semantan Privilege Club (SSPC) telah menghimpunkan kira-kira 180,000 ahli yang menikmati pelbagai ganjaran termasuk mata ganjaran dan baucar yang boleh ditebus untuk mendapatkan emas, sekali gus menggalakkan budaya pemilikan serta simpanan emas dalam kalangan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN