KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 10 hingga 20 lagi pelumba motosikal bertaraf dunia seperti Hakim Danish Ramli menerusi program pembangunan bakat sukan permotoran yang dilaksanakan secara sistematik bersama Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Menterinya, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, kejayaan Hakim Danish mengharumkan nama negara di pentas dunia membuktikan pembangunan atlet secara berperingkat dari usia muda mampu melahirkan jaguh bertaraf antarabangsa.
“Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada wira negara, Hakim Danish yang telah membanggakan negara di persada dunia.
“Kita bersama-sama SIC di bawah KBS membimbing dan memastikan perjalanan Hakim Danish sehingga ke tahap ini. Sejak tahun 2021, KBS sentiasa menyokong beliau secara berperingkat menerusi laluan pembangunan bakat sukan permotoran seperti Asia Talent Cup, European Talent Cup, Red Bull Rookies Cup, JuniorGP sehinggalah ke Kejuaraan Dunia Moto3.
“Dalam tempoh tersebut sokongan yang disalurkan melalui ekosistem KBS dan SIC sentiasa membantu membina pendedahan pengalaman latihan dan daya saing beliau di peringkat antarabangsa,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mohd. Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) yang menyatakan sama ada kementerian bercadang memperluaskan pembinaan litar sukan permotoran bagi menyediakan ruang aktiviti yang lebih selamat kepada belia.
Menurut Taufiq, pembangunan atlet akar umbi terus menjadi fokus utama kementerian dengan pendekatan membimbing atlet dari peringkat awal sebelum diketengahkan ke kejohanan lebih tinggi.
“Apabila mereka mencapai tahap tertinggi, kerajaan masih menyalurkan dana, namun pada masa sama atlet juga perlu mendapatkan penajaan tambahan daripada pihak swasta bagi memastikan pembangunan kerjaya mereka dapat diteruskan,” katanya.
Mohammed Taufiq berkata, kerajaan melalui KBS telah memperuntukkan sebanyak RM8.93 juta bagi pembangunan Hakim Danish sejak 2021.
“Pada masa sama, bagi penyertaan khusus beliau dalam Kejuaraan Dunia Moto3 musim 2026, SIC turut menyediakan dana awal sebanyak RM453,000 daripada dana dalaman. Saya memberi jaminan bahawa sokongan KBS terhadap Hakim Danish adalah bersifat menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, kementerian tidak hanya memberi tumpuan kepada Hakim Danish, malah turut membangunkan beberapa lagi pelumba muda berpotensi seperti Kabil Irfan, Koyim Razin, Syaf Muhriz serta bakat-bakat baharu sebagai pelapis negara.
“Kita sudah melahirkan seorang Hakim Danish yang hebat. Matlamat dan tujuan kita sekarang adalah untuk melahirkan 10 hingga 20 lagi Hakim Danish bagi menjadi wakil negara dan mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” katanya. – UTUSAN










