SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan aktiviti transit 72 unit server yang mengandungi Advanced Ai Chip yang bernilai RM52.92 juta di Zon Perdagangan Bebas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal bulan ini.
Pengarah Kastam KLIA, Zulkifli Muhammad berkata, rampasan itu dilakukan hasil pemeriksaan sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA di sebuah gudang di Zon Perdagangan Bebas pada kira-kira pukul 4.30 petang, 5 Jun lalu.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kesemua server terbabit dibawa masuk dari sebuah negara Asia menggunakan satu Air Waybill sebelum dipercayai akan dieksport semula ke sebuah lagi negara di rantau Asia.
“Siasatan awal mendapati server berkenaan disyaki tertakluk kepada transaksi melibatkan barang tidak tersenarai dan aktiviti terhad di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA, hari ini.
Menurut beliau, sindiket mengikrarkan server berkenaan sebagai ‘perkakasan komputer’ bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa, selain menggunakan Malaysia sebagai laluan transit sebelum penghantaran ke negara destinasi.
Katanya lagi, setakat ini seorang ejen penghantaran barangan warganegara telah ditahan bagi membantu siasatan, serta syarikat pengendali penghantaran turut dipanggil untuk dirakam keterangan.
“Mana-mana pihak yang ingin mengeksport atau membawa masuk secara transit cip AI yang dikategorikan perlu memaklumkan kepada Sekretariat Perdagangan Strategik (STS), sekurang-kurangnya 30 hari lebih awal. Apabila dibenarkan mereka perlu memohon permit STA,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010 yang memperuntukkan denda sehingga RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu yang melakukan kesalahan dengan niat, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20 juta jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, JKDM turut berjaya merampas 4,760 kartrij cecair vape disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine bernilai RM1.19 juta dalam serbuan di Ground Team Red (GTR), Zon Perdagangan Bebas KLIA pada 10 Jun lalu.
Beliau berkata, enam kotak berbalut plastik hitam itu dipercayai cuba dieksport ke sebuah negara jiran dengan diikrarkan sebagai ‘komponen alat ganti komputer’.
“Sindiket menyembunyikan kartrij vape berkenaan di dalam casing CPU bagi mengaburi pihak berkuasa ketika menggunakan perkhidmatan kargo udara,” katanya.
Menurutnya, setakat ini, tiga individu warganegara dari syarikat penghantaran telah dipanggil bagi membantu siasatan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala keseluruhan nilai rampasan bagi kedua-dua kes berjumlah RM54.11 juta. – UTUSAN








